KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) yang berlangsung selama enam bulan bermula bulan ini hingga Disember 2021.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen tersebut untuk menarik lebih ramai kakitangan awam dan swasta khususnya di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya bagi menunaikan zakat pendapatan secara bulanan melalui potongan gaji.
Katanya, kempen itu antara lain terbuka kepada semua pembayar zakat melalui saluran skim PZB sama ada pembayar zakat baharu atau yang menambah jumlah potongan zakat
“Kini adalah masa sesuai untuk kita yang masih mempunyai pendapatan untuk tampil membantu mereka yang kurang bernasib baik dan jika kutipan zakat meningkat, maka lebih ramai asnaf yang dapat disantuni.
“Saya juga menyeru kepada semua masyarakat Islam untuk berganding bahru membantu mereka yang kurang berkemampuan agar dapat keluar daripada kemiskinan di samping menyuburkan lagi harta,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran kempen PZB secara maya di sini hari ini.
Program itu turut dihadiri panel jemputan penceramah bebas, Datuk Dr. Norhafizah Musa dan pengacara, Nabil Ahmad.
Abdul Hakim berkata, antara kelebihan skim PZB adalah pembayaran zakat dapat dilaksanakan dengan pantas, mudah dan selamat secara tetap setiap bulan, perbelanjaan tunai lebih terancang, mendapat cukai pendapatan dan PZB boleh diselaraskan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).
Jelasnya, bayaran zakat yang melebihi RM25,000 setahun akan mendapat Skim Wakalah atau pengembalian semula wang zakat untuk diagihkan kepada asnaf dari 25 peratus hingga 50 peratus serta pembayar dilindungi Skim Kafalah Muzakki atau khairat kematian sehingga RM3,000.
“Permohonan ini juga boleh dibuat secara dalam talian di laman web rasmi PPZ-MAIWP atau imbas kod QR kerana ia menjimatkan masa tanpa perlu ke kaunter untuk membuat pembayaran atau secara manual di kaunter PPZ-MAIWP Putrajaya, katanya.
Mengikut data daripada MAIWP, jumlah penerima bantuan zakat yang terdiri daripada ketua keluarga meningkat sebanyak 35 peratus daripada 43,353 asnaf pada tahun 2019 kepada 59,419 penerima pada tahun lalu.
Manakala bagi tempoh Januari hingga Jun 2021, jumlah penerima bantuan zakat dilihat terus meningkat sebanyak 47,483 penerima. PPZ-MAIWP mensasarkan RM800 juta pungutan zakat bagi tahun ini.
Kata Abdul Hakim, peserta berpeluang untuk merebut hadiah seperti komputer riba, tablet, telekung eksklusif dan e-dompet bernilai RM100 beserta produk asnaf untuk setiap pemenang.
“Cabutan pemilihan pemenang akan dibuat dua kali dalam tempoh kempen pada Oktober depan dan Januari 2022. Mereka ini akan dipilih dalam kalangan pembayar di sektor swasta dan kerajaan,” katanya. -PETALING JAYA










