Polis terima 49 laporan hina Pemangku Raja Pahang - Utusan Malaysia

Polis terima 49 laporan hina Pemangku Raja Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang menerima 49 laporan daripada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung dakwaan menghina Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di media sosial.

Ketua Polis negeri, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semua laporan itu diterima di balai polis sekitar Pahang dan satu laporan di Melaka.

“Semua laporan ini disiasat Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman memandangkan kes terbabit membabitkan (siasatan) pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Jadi, kita tunggulah hasil siasatan itu kelak dan saya ingin ingatkan kepada semua pihak, terutamanya golongan remaja, supaya lebih berhati-hati ketika melayari media sosial kerana kita semua tertakluk kepada peraturan atau undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Ramli berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Di negeri ini, antara yang tampil membuat laporan polis ialah Majlis Belia Malaysia (MBM) Pahang bersama Majlis Belia Daerah Kuantan, Young Malaysia Movement dan Gerakan Belia 4B negeri pada Selasa lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Laporan itu dibuat selepas tular di laman sosial sejak Ahad, membabitkan tangkap layar dari akaun Twitter yang memuat naik gambar Tengku Hassanal diubah suai hingga menimbulkan kemarahan pelayar internet.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya