PETALING JAYA : Penularan rakaman video berunsur hasutan yang mempertikaikan skim pelantikan doktor secara kontrak dalam sektor perkhidmatan awam telah disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Siasatan itu dijalankan bagi mengesan individu yang disyaki menghasilkan rakaman video berdurasi enam minit 49 saat dan memperkenalkan diri sebagai Dr Han @ Gigi Han.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, melalui rakaman video, lelaki terbabit menyeru orang ramai mengambil bahagian dengan menukar gambar profil di media sosial menggunakan warna hitam atau monokrom mulai awal bulan lalu sehingga kelmarin.

Kata beliau, lelaki itu juga meminta memuat naik gambar dengan tanda pagar #SaveMYcontractHCW, #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY pada 12 Julai lalu.
“Tindakan itu dinamakan Code Black bermaksud keadaan darurat hospital akibat ancaman kepada petugas atau ancaman bom di hospital, selain bertujuan memberi sokongan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak yang menuntut untuk diberi keistimewaan seperti pegawai perubatan tetap.
“Lelaki itu juga mendakwa sistem diamalkan kerajaan boleh menjejaskan kehidupan rakyat dan perkhidmatan kesihatan selama enam dekad sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.
“Justeru, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588),” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Kata beliau, kertas siasatan juga akan dilengkapkan dengan kadar segera sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya.
Dalam pada itu, Abd Jalil turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Ng Guan Seng di talian 03-88862145.
“Orang ramai juga dinasihati tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis dan menggunakan media sosial dengan bijak, berhemah, tidak mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE










