KUANTAN: Kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu segera melaksanakan pemulihan dalam gabungan berkenaan sebagai penyelesaian kepada polemik yang berlaku pada ketika ini.
Pemulihan berkenaan boleh turut merangkumi usul kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah nama perdana menteri baharu yang dirasakan sesuai dan juga mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Selain itu, PN juga boleh melaksanakan rombakan kabinet dan tidak menjadi kesalahan memohon maaf atas apa yang telah berlaku.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Dr. Che Hamdan Che Mohd. Razali berkata, secara kolektifnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri perlu berlapang dada untuk bertanggungjawab atas apa yang berlaku.
Jelasnya, kerajaan perlu memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong yang dukacita berhubung pembatalan ordinan darurat tidak diperkenankan baginda.
“Tekanan daripada pembangkang memerlukan PN untuk menunjukkan kerendahan hati pemimpin demi menarik kembali simpati dan sokongan rakyat dengan usaha yang telah dilakukan,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataannya berkata, ini sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.
Mengulas lanjut, Che Hamdan berkata, beliau melihat kerajaan campuran dan Perdana Menteri interim bukan keperluan dan penyelesaian polemik yang berlaku.
“Sekiranya kerajaan PN sememangnya tidak mendapat majoriti Dewan Rakyat, maka yang terbaik adalah serahkan kepada majoriti. Itu prinsip asas.
“Cuma penentuan terhadap pihak mana yang majoriti diharapkan menggunakan proses selari dengan prinsip demokrasi. Kita memerlukan kerajaan yang ada legitimasi. Walaupun penyelesaian terbaik adalah pilihan raya, namun situasi sekarang (Covid-9) tidak mengizinkan untuk ia diadakan,” jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Undang-Undang Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, dalam tempoh Proklamasi Darurat, mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa prerogatif kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik jawatankuasa dirasakan perlu bagi mentadbir negara.
Jelasnya, terpulang kepada Seri Paduka Baginda sama ada melantik Perdana Menteri Interim ataupun menubuhkan majlis pemulihan negara seakan-akan Majlis Gerakan Negara (Mageran) 2.0.
“Itu kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh Proklamasi Darurat yang akan berakhir pada 1 Ogos ini. Kuasa penuh terletak pada Seri Paduka.
“Ketika ini kita perlu proses pemulihan negara dan tidak perlu sampai diadakan pilihan raya umum (PRU) kerana mandat masih ada sehingga 2023, cuma perlu lihat model yang ingin digunakan, segalanya terletak atas budi bicara Seri Paduka Baginda,” katanya.- UTUSAN ONLINE