KUALA LANGAT: Pandu lalu antara kaedah digunakan jawatankuasa Masjid Kampung Jenjarom di sini bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk setempat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Kaedah itu memudahkah bantuan diberi selain mengelakkan orang ramai daripada berkumpul dalam kawasan masjid secara terbuka bagi mengelakkan risiko dijangkiti Covid-19.
Penduduk setempat yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan barangan makanan kering dan basah seperti beras, gula dan sayur-sayuran.
Menurut Ketua Biro Kebajikan Masjid Jenjarom, Mohd. Muslimen Omar, idea bantuan secara pandu lalu itu merupakan cetusan daripada program infaq pada Ramadan lalu iaitu menyediakan 100 pek makanan untuk hidangan berbuka puasa.
“Dalam pukul 6 petang penduduk setempat akan datang mengambil pek makanan tersebut setiap hari. Lama kelamaan program infaq tersebut semakin berkembang dengan ada ahli kariah menyumbang makanan selain kuih-muih.
“Kemudian, timbul idea untuk menyumbang minuman seperti teh tarik setiap pagi.Dalam masa yang sama ada ahli kariah menyumbang pelbagai jenis makanan termasuk sayur sayuran untuk diagihkan secara pandu lalu bermula pukul 8 pagi hingga selesai,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Jenjarum hari ini.
Beliau menambah, pengagihan sarapan secara pandu lalu yang dibuat sebelum ini juga masih diteruskan hingga kini dengan menyediakan hidangan seperti roti canai yang menerusi sumbangan orang awam.
Kata Mohd. Muslimen lagi, selain sumbangan makanan pihaknya turut menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk kewangan dan latihan kemahiran kepada pusat-pusat kebajikan dan sekolah agama yang terkesan akibat pandemik
“Kami juga menganjurkan program amal untuk mangsa banjir di Pahang, menyantuni perkampungan Orang Asli di Sijangkang, Selangor dan Perak. Program ini kita adakan dengan kerjasama masjid-masjid lain di negeri ini,” ujarnya.
Tambahnya, selain pemberian bantuan secara pandu lalu, pihaknya juga menyediakan rak khas ‘Gerobok Rezeki Jalinan Kasih’ dekat satu sudut di masjid berkenaan bagi mereka yang singgah di sana.- UTUSAN ONLINE










