ALOR GAJAH: Seorang imam di Masjid Ihsanuddin, Kampung Gangsa di sini mampu meraih pendapatan lebih RM200 sehari dengan hanya menjual petai di atas motornya sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.
Md. Yusuf Mohd. Nor, 57, berkata, setiap hari sebanyak 80 papan petai laris terjual pada harga RM5 seikat dengan penjualan turut dibuat secara bayaran semasa penghantaran (COD).
Katanya, permintaan petai mula meningkat melebihi jumlah bekalan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sehingga ada pelanggan yang kecewa apabila gagal merebut ulam tersebut.
“Saya ambil bekalan petai ini daripada kawan dan setiap hari kira-kira 80 papan sahaja yang ada untuk dijualkan pada harga RM5 seikat.
“Permintaan petai memang tinggi, sehinggakan ada yang kecewa kerana petai telah habis dijual sebelum mereka dapat membelinya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Md. Yusuf memberitahu, dia turut membuka tempahan petai kepada orang ramai dengan mengiklankannya di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
“Saya turut mengambil tempahan pelanggan sehari sebelum dijual dan pernah seorang pelanggan dari Muar, Johor membeli sebanyak 197 ikat petai.
“Paling jauh, pelanggan saya adalah daripada Kelantan dan saya terpaksa menggunakan perkhidmatan kurier untuk hantar ke sana,” jelasnya.
Ujarnya, petai-petai yang ditempah akan dihantarnya sendiri ke rumah pelanggan, selain menggunakan perkhidmatan rider.
Katanya, walaupun permintaan terus meningkat, dia tidak pernah menaikkan harga petai sebaliknya hanya diniatkan untuk bersedekah.- UTUSAN ONLINE