ALOR SETAR: Seorang pesara jururawat mengalami kerugian sebanyak RM326,586 selepas diperdaya seorang warga asing yang tidak dikenali dengan menggunakan akaun Facebook ‘Lucas Cai’ sejak 1 Mac lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa berusia 66 tahun beranggapan pada awalnya akaun ‘Lucas Cai’ itu adalah milik anak saudaranya tetapi mangsa tersilap orang dan kemudian mereka berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, suspek memperkenalkan dirinya sebagai ‘Lucas’ berasal dari United Kingdom dan bekerja sebagai jurutera pelantar di syarikat British Petroleum di utara Ireland.
Menurutnya, suspek telah meminta pertolongan daripada mangsa daripada sumber kewangan dengan mendakwa projeknya iaitu ‘pembaikan slinder pam’ telah rosak serta perlu ditukar baharu.
“Atas dasar kasihan dan rayuan suspek, mangsa telah membuat empat kali transaksi bayaran secara berperingkat ke tiga akaun yang berbeza di kaunter Maybank di sini pada 18 Mac hingga 19 April lalu berjumlah RM326,586.
“Wang tersebut merupakan hasil daripada simpanan mangsa semasa bekerja selama 36 tahun dan wang insurans,” katanya.
Tambahnya, mangsa mulai sedar ditipu selepas melihat laman web di dalam Google di mana terdapat dua individu lain telah ditipu dengan modus operandi yang sama seperti mangsa.
Jelasnya, mangsa yang pernah bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kemudian membuat laporan di sini pada 17 Julai 2021.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










