Pesara Hee Kim Lan sambung tugas jadi sukarelawan jururawat demi negara - Utusan Malaysia

Pesara Hee Kim Lan sambung tugas jadi sukarelawan jururawat demi negara

HEE Kim Lan menyuntik seorang penerima vaksin pada Program Movac di Japerun Machap Jaya, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pengalaman selama 31 tahun sebagai jururawat dimanfaatkan sebaiknya oleh seorang pesara Hee Kim Lan,57, mengambil keputusan nekad untuk bertugas sebagai sukarelawan  Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movac).

Meskipun pada mulanya tidak mendapat izin suami memandangkan risiko yang menanti, dia bertekad ‘turun ke lapangan’  untuk berbakti kepada negara.

Kim Lan memberitahu, pada peringkat awal, dia tidak mendapat keizinan suami untuk bertugas sebagai sukarelawan namun, usaha berterusan  memujuk dan meyakinkan suaminya untuk terus menabur bakti, meskipun baru bersara pada Januari tahun ini.

“Saya sudah menjadi jururawat selama 31 tahun dan jawatan terakhir sebagai Ketua Penyelia Jururawat semasa betugas di Hospital Melaka. Suami memang tak bagi, tapi, saya cakap, kalau tidak tolong, siapa lagi yang nak bantu.

“Sebenarnya, selepas bersara saya mahu meluangkan masa bersama keluarga sahaja. Tetapi, keadaan semasa fasa kedua pandemik Covid-19 yang melanda negara membuatkan saya terpanggil untuk bertugas sebagai sukarelawan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Machap Jaya di sini, semalam.

Tambah Kim Lan, sepanjang bertugas sebagai penyuntik vaksin untuk Movac, dia berdepan bermacam ragam dan karenah orang ramai seperti takut jarum dan melatah.

Ujarnya, pengalaman luas dalam bidang kejururawatan semasa bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Jasin digunakan sepenuhnya untuk menenangkan mereka.

“Saya cakap, mereka harus bertenang dan jangan panik. Ada ketika, saya terpaksa pegang tangan, baru mereka boleh disuntik,” ujarnya yang berasal dari Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah.

Sementara itu, bagi membuktikan penerima tidak diberikan suntikan kosong, Kim Lan akan menunjukkan jarum suntikan mengandungi cecair vaksin terlebih dahulu.

Jelasnya, proses itu sangat penting bagi mengelakkan timbulnya isu picagari suntikan kosong. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN