TUMPAT: Ibadat Korban Santun Masyarakat anjuran Pertubuhan Kasih Neelofa menumbangkan 55 ekor lembu tahun ini di seluruh negara kecuali Sarawak, untuk diagihkan kepada 4,000 golongan asnaf.
Pengurus Pertubuhan Kasih Neelofa Pantai Timur, Noor Suryanti Noor Mohamad berkata, program itu membabitkan peruntukan hampir RM300,000 yang dikumpul menerusi sumbangan pelbagai pihak.
Katanya, tahun ini, Kelantan dan Perak menjadi dua negeri penerima tertinggi apabila masing-masing membabitkan sembilan lembu korban.
“Untuk Kelantan sahaja, agihan kepada 700 penerima di semua daerah akan dibuat oleh wakil pertubuhan yang dilantik mulai hari ini,” katanya kepada pemberita di lokasi penyembelihan di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Noor Suryanti berkata, pada asalnya, bilangan lembu korban disasarkan sebanyak 1,000 ekor namun terpaksa dikurangkan bagi mematuhi prosedur operasi standar (SOP) ibadat korban tahun ini.
“Disebabkan kekangan itu, banyak pihak membuat keputusan menganjurkan program korban di luar negara.
“Pertubuhan Kasih Neelofa bagaimanapun tetap mahu meneruskan program ibadat korban dalam negara kerana menyedari masih ramai golongan asnaf di Malaysia yang boleh disantuni, lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 yang berpanjangan,” katanya.
Salah seorang penerima, Ibrahim Nik Mud, 60, berterima kasih kepada pertubuhan tersebut sambil menyifatkan sumbangan daging korban diterima hari ini sebagai rezeki untuk keluarganya menjamu selera di rumah.
“Tidak banyak daging korban diterima tahun ini berbanding tahun sebelumnya namun saya bersyukur kerana masih dapat merasai lauk ini yang memang mahal bagi golongan yang tidak berkemampuan seperti saya,” katanya.- UTUSAN ONLINE










