Perlu ada garis panduan perbelanjaan Bakul Makanan - Utusan Malaysia

Perlu ada garis panduan perbelanjaan Bakul Makanan

ANTHONY Loke Siew Fook menyerahkan sumbangan kerusi roda bagi kemudahan di PPV Dewan Orang Ramai Sikamat kepada Ketua Pusat PPV Sikamat, Dr. Safia Othman (dua dari kanan), ketika hadir melawat PPV tersebut hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perlu ada garis panduan dan penjelasan kepada setiap ahli Parlimen bagaimana mereka boleh menggunakan peruntukan sebanyak RM300,000 yang disediakan kerajaan Persekutuan untuk program Bantuan Bakul Makanan.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, garis panduan bantuan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) itu juga mesti mengambil kira berapakah nilai setiap bakul makanan selain jumlah penduduk di setiap Parlimen.

“Peruntukan kerajaan, sudah tentu ada garis panduan bagaimana untuk dibelanjakan wang itu jadi saya belum menerima garis panduan itu. Jika garis panduan itu membolehkan untuk kegunaan lain, kita boleh bantu untuk kegunaan lain, jika hanya untuk bakul makanan, kita bagi bakul makanan sahaja.

“(Bagaimanapun) pendekatan saya, (penerima) akan diberi baucar bernilai mungkin sebanyak RM50, kita beri baucar dan mereka akan ke kedai runcit untuk membeli sendiri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menyerahkan sumbangan kerusi roda di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Orang Ramai Sikamat, Sikamat dekat sini hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Siew Fook menambah, selain garis panduan tersebut, peruntukan yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 itu juga belum diterimanya.

“Tetapi kita tidak tunggu peruntukan itu baru bantu orang. Kami guna sumber sendiri, untuk bantu secara terus. Apabila sampai nanti (garis panduan) kita akan umumkan bagaimana peruntukan itu disalurkan.” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai kempen mengibarkan bendera putih jika terputus bekalan makanan yang mendapat sambutan hangat di media sosial, beliau berpandangan pendekatan itu mampu membantu dalam menyampaikan maklumat kepada banyak pihak bagi bantuan disalurkan.

Bagaimanapun beliau menambah, pihaknya masih belum menerima apa-apa maklumat sekiranya ada pihak yang memasang bendera putih itu di daerah ini.

“Kami sudah mulakan pemberian bantuan bakul makanan untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lagi, sesiapa sahaja yang memerlukan boleh datang pejabat, tidak perlu pasang bendera putih pun, kami akan terus berikan.

“Kerajaan negeri dan Pejabat Ahli Parlimen Seremban telah ambil langkah proaktif, di pejabat saya lebih 100 orang datang setiap hari ambil bantuan makanan dan dalam tempoh sebulan lalu, kami telah berikan lebih 2,000 bakul makanan kepada rakyat memerlukan,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN