Pergi Pusat Khidmat Komuniti minta bantuan - Utusan Malaysia

Pergi Pusat Khidmat Komuniti minta bantuan

SITI BERENEE YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Mana-mana individu atau keluarga di negeri ini dinasihatkan pergi ke Pusat Khidmat Komuniti di kawasan masing-masing terlebih dahulu bagi mendapatkan bantuan bukan dengan mengambil keputusan mengibar bendera putih di kediaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Siti Berenee Yahaya berkata, Perlis bukanlah negeri yang besar dan semua keluarga memerlukan telah pun dikenal pasti melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan masing-masing.

Katanya, JPKK banyak membantu wakil rakyat tempatan untuk mengenal pasti mana-mana keluarga yang terkesan dan mereka diberikan keutamaan.

“Kalau ada rasa nak pasang bendera, pergi dulu dekat Pusat Khidmat Komuniti atau berjumpa dengan wakil rakyat kawasan masing-masing untuk minta bantuan. Kami tak akan tolak.

“Di Perlis ini, saya tengok Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pun bertindak dengan cepat dan baik. Semasa kami memberi edaran makanan asas sepanjang lockdown pun keseluruhan orang-orang yang terkesan ini ada mendapat imbuhan ataupun sumbangan barangan asas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Kempen mengibarkan bendera putih jika terputus bekalan makanan mendapat sambutan hangat dalam media sosial sejak kelmarin.

Walaupun tidak dapat dipastikan siapa yang memulakan kempen tersebut, ia menjadi tular dalam Facebook, Twitter dan Instagram.

Kempen itu cukup mudah, anda hanya perlu mengibarkan bendera putih di rumah sendiri jika menghadapi kesusahan dari segi bekalan makanan dan kewangan.

Sementara itu, beliau memberitahu, pemberian bantuan bukan sahaja kepada golongan berpendapatan rendah (B40) malah turut diperluaskan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40).

“Pada peringkat awal bantuan dikhususkan kepada B40 tetapi sekarang M40 pun kita bagi juga.

Ada juga yang gaji bulanan mereka yang dibayar separuh sahaja apabila tidak dapat pergi bekerja. Jadi, mereka pun kita bantu,” ujarnya.

Tambah Siti Berenee, saranan menaikkan bendera putih itu dilihat lebih kepada permainan politik sahaja kerana mahu menunjukkan seolah-olah sesetengah pihak itu tidak melaksanakan tanggungjawab mereka.

Sementara itu di Pulau Pinang Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan mengibarkan bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup yang dihadapi untuk menagih bantuan.

Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, pihaknya beranggapan tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan kerana mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.

Jelas beliau, bagi umat Islam khususnya, perlu memahami sikap berputus asa dan mudah mengalah kepada kesusahan dan kesempitan hidup adalah dilarang.

Tambahnya, individu yang mudah mengalah kepada kesusahan dan berputus asa dalam menghadapi ujian hidup menunjukkan kelemahan iman dan tiada keyakinan kepada  rahmat Allah SWT.

“Jabatan ini berpendapat masih banyak cara lain untuk mendapat bantuan bagi mengatasi kepayahan hidup golongan yang terjejas pendapatannya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Di samping bantuan yang sedia disalurkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, bantuan juga boleh didapati daripada badan-badan dan agensi-agensi tertentu.

“Antaranya termasuk pusat-pusat pengurusan zakat setiap negeri; Jabatan Kebajikan Masyarakat; syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta di samping sumbangan individu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau menyeru usaha-usaha intensif dan agresif ditingkatkan lagi oleh pihak berwajib untuk membantu mengatasi kemelut ekonomi yang dihadapi golongan yang terjejas dengan situasi ketika ini.

Ujar beliau, pihaknya merayu GLC dan syarikat-syarikat swasta menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dan turut serta menyumbang dengan lumayan bagi meringankan keperitan hidup golongan terjejas..

Tambah Wan Mohd. Salim, wakil-wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu memainkan peranan sebagai penghubung di antara golongan yang memerlukan bantuan dengan pihak yang boleh menyumbang.- UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya