PETALING JAYA: Peralihan keadaan daripada La Nina kepada keadaan normal pada masa ini menyebabkan negara mengalami kelembapan berlebihan berbanding kebiasaan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Jailan Simon berkata, negara masih berada di monsun barat daya yang sepatutnya keadaan agak kering sehingga peralihan angin monsun yang dijadualkan pertengahan September sehingga hujung Oktober ini.
Katanya, berikutan peralihan itu, negara-negara di selatan Asia mengalami keadaan yang agak lembap pada bulan ini.
“Maka, dengan itu, kita dapat melihat kebakaran hutan di Indonesia agak kurang pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Namun, walaupun monsun barat daya yang sepatutnya agak kering, terdapat garis badai dari selat Melaka yang biasa menyebabkan hujan pada sebelah pagi malah sehingga tengahari.
“Jika keadaan berterusan, ia berkemungkinan boleh membawa kepada banjir kilat di kawasan-kawasan rendah di pantai barat semenanjung, tetapi secara kebiasaannya perkara itu tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya menjangkakan peralihan itu hanya mengambil masa pada bulan Julain ini dan keadaan kembali normal apabila memasuki bulan Ogos nanti.
“Keadaan dijangka kembali seperti biasa apabila memasuki bulan Ogos ini, peralihan angin barat daya kepada angin monsur timur laut pada pertengahan September akan mengakibatkan keadaan kambli lembap,” katanya. -UTUSAN ONLINE










