[VIDEO] Peniaga, pekerja Pasar Besar Seremban jalani ujian saringan Covid-19 - Utusan Malaysia

[VIDEO] Peniaga, pekerja Pasar Besar Seremban jalani ujian saringan Covid-19

SEORANG peniaga Pasar Besar Seremban menjalani ujian saringan RTK di pasar tersebut hari ini selepas berlaku pengesanan jangkitan Covid-19 di pasar berkenaan baru-baru ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lebih seribu peniaga dan pekerja di Pasar Besar Seremban dekat sini hari ini menjalani Ujian Kit Pantas Antigen (RTK Ag) selepas terdapat pengesanan jangkitan positif wabak berkenaan di pasar tersebut baru-baru ini.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, program saringan tersebut dianjurkan bersama oleh Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dan pejabatnya didorong kebimbangan oleh peniaga dan pekerja di pasar berkenaan.

“Walaupun kebanyakan pekerja dan peniaga di pasar ini telah memperoleh dos pertama vaksin Covid-19, ujian saringan hari ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sebanyak 1,500 kit ujian disediakan yang diharap dapat menyaring semua peniaga dan pekerja di pasar ini. Program ini bukan wajib dan ia dijalankan secara sukarela namun saya harap kesemua dapat datang dan seramai mungkin buat saringan supaya mereka boleh kenal pasti sama ada mereka dijangkiti juga atau pun tidak,” katanya kepada pemberita di pasar tersebut hari ini.

PENIAGA dan pekerja di Pasar Besar Seremban menjalani ujian saringan Covid-19. – VIDEO/BADRUL HAFIZAN MAT ISA

Tambah Siew Fook, sekiranya ada dalam kalangan pekerja dan peniaga yang didapati positif Covid-19 dalam ujian saringan berkenaan, ujian Tindak Balas Rantaian Polimerase (PCR) akan dilakukan serta merta.

“Pegawai kesihatan pejabat kesihatan daerah (PKD) juga hadir pada hari ini bagi memantau sekiranya terdapat kes positif Covid-19 selepas ujian berkenaan, mereka akan memakaikan gelang kepada pesakit dan pesakit mesti melakukan pengasingan kendiri di rumah.

“Kita semua tahu pasar merupakan tempat tumpuan ramai dan jelas ia berisiko. Saya harap peniaga dan pekerja dapat beri kerjasama dengan membuat saringan ini,” katanya lagi.

Jelas beliau, melihat hasil daripada ujian saringan pada hari ini, pihaknya akan merujuk kepada PKD sama operasi pasar tersebut perlu ditutup sementara ataupun tidak.

“Ia terpulang kepada berapa kes positif Covid-19 yang dapat dikenal pasti pada hari ini,” katanya yang memberitahu pasar tersebut telah ditutup sementara selama tiga hari bermula Selasa lalu bagi proses sanitasi.- UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN