Peniaga di Negeri Sembilan 'tersepit' - Utusan Malaysia

Peniaga di Negeri Sembilan ‘tersepit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Peningkatan berterusan kes jangkitan Covid-19 selain pelaksanaan sekatan pergerakan penuh menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga termasuk di Negeri Sembilan.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Sembilan, Amirhamzah Karim memaklumkan, banyak peniaga terutamanya peniaga kecil kini tidak mampu lagi bertahan dan akan gulung tikar sekiranya situasi yang ada tidak menunjukkan pemulihan.

Menyifatkan apa yang dihadapi peniaga di negeri ini sebagai ‘tersepit’, beliau mengharapkan kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi memudahkan pelaksanaan moratorium selain bantuan pembiayaan lain kepada peniaga.

Langkah itu dilihat beliau sebagai satu-satunya cara yang dapat meringankan beban peniaga selain membolehkan mereka mempunyai kemampuan untuk kembali berniaga pada masa hadapan.

“Di Negeri Sembilan, peniaganya kini tersepit. Ada yang tidak mempunyai pendapatan langsung kerana tidak boleh berniaga dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Seremban.

“Bagi yang boleh berniaga pula, apa yang diperoleh tidak seberapa kerana orang ramai tidak boleh keluar. Ada yang urusan perniagaan mereka selama ini juga melibatkan negeri bersebelahan seperti Selangor dan Melaka, tetapi halangan rentas negeri menjejaskan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut Amirhamzah lagi, bantuan moratorium yang dijadikan harapan oleh peniaga termasuk kira-kira 2,000 ahli DPMM di negeri ini untuk bertahan dalam perniagaan juga seolah-olah tidak memberikan berita gembira.

“Kami melihat moratorium terutama melibatkan pembiayaan kepada peniaga kecil dan sederhana, mempunyai syarat yang tidak masuk akal. Syaratnya peniaga mestilah tidak mempunyai tunggakan selama 90 hari, ini tidak logik.

“Sudah dua bulan dan memasuki bulan ketiga kami tidak boleh berniaga, permohonan moratorium pula dibuka pada 7 Julai, cuba fikir, bagaimana kami mahu bayar sebarang tunggakan yang ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN