Penduduk yang terjejas di kenal pasti - Utusan Malaysia

Penduduk yang terjejas di kenal pasti

AHMAD NAZLAN Idris membantu menurunkan barang keperluan dapur di pusat pengumpulan Kampung Kuala Tahan, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan pengerusi taman perumahan perlu memainkan peranan proaktif mengenal pasti penduduk yang benar-benar terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, mereka sewajarnya mengenali secara lebih dekat masalah kebajikan penduduk di kawasan masing-masing khususnya golongan yang betul tertekan serta memerlukan bantuan.

Beliau berkata, sejak penguat kuasaan PKP tahun lalu sehingga kini, pelbagai bantuan disampaikan oleh kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga berperanan aktif membantu penduduk yang terjejas, namun masih kedengaran rungutan kesukaran mendapatkan bantuan.

“Kemungkinan mereka (penyampai) bantuan memberikan sama rata tanpa membanci (melihat) bilangan tanggungan termasuk hilang pekerjaan menyebabkan bantuan tidak mencukupi.

“Hal inilah yang menyebabkan ada penduduk yang mengibarkan bendera putih kerana keadaan yang terdesak, tetapi sehingga ini saya tidak mendapat laporan berlaku di kawasan Parlimen Jerantut,” katanya di Kuala Tahan dekat sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan bakul makanan bersama sukarelawan Pejabat Perkhidmatan Ahli Parlimen Jerantut kepada Pengerusi JKKK dan wakil penduduk di pusat pengumpulan makanan Kampung Labu dan Kuala Tahan, Mukim Tembeling Tengah.

Ahmad Nazlan berkata, Pejabat Parlimen di sini sedaya upaya akan membantu walaupun peruntukan kerajaan Pusat sebanyak RM300,000 masih tidak mencukupi cuma mampu menyediakan barang keperluan dapur kira-kira 4,200 buah keluarga berasaskan sebuah bakul makanan bernilai RM70 berbanding di Jerantut terdapat 65,000 buah keluarga.

“Hari ini kita telah mengedarkan 1,500 bakul makanan untuk semua kaum yang terjejas diserahkan kepada JKKK Mukim Tembeling Tengah dan Pengerusi Taman Perumahan di bandar dan pinggir bandar Jerantut.

“Jadi saya berharap penduduk yang benar susah dan terjejas perbelanjaan sahaja diberi keutamaan bantuan bakul makanan ini dan janganlah mereka yang mampu mengambil kesempatan pula,” katanya.

Selanjutnya, beliau meminta penduduk yang benar-benar terjejas supaya dapat menghubungi Pengerusi JKKK dan Taman Perumahan masing-masing atau penyelaras bantuan pusat pengumpulan makanan setempat sekiranya untuk memperoleh barang keperluan dapur.

“Pendekatan yang ideal ini menerusi kerjasama JKKK dan Pengerusi Taman Perumahan dapat membantu penduduk yang benar terjejas perbelanjaan sahaja dan sekiranya ada penduduk yang terlepas pandang pihak berkenaan mahupun terdesak sangat bolehlah angkat bendera putih,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN