Penduduk Bukit Malut diberi amaran tidak lolos PKPD - Utusan Malaysia

Penduduk Bukit Malut diberi amaran tidak lolos PKPD

ANGGOTA polis memeriksa kenderaan yang melalui SJR di Bukit Malut, Langkawi hari ini. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap penduduk yang meloloskan diri dari kawasan penempatan di Bukit Malut apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa mulai esok.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya akan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) dan menutup lorong tikus di sekitar penempatan tersebut bagi memastikan tiada pergerakan keluar dan masuk di perkampungan itu pada sepanjang PKPD itu.

Menurutnya, kawalan di SJR dan penutupan lorong tikus termasuk laluan laut akan bermula tengah malam ini.

“Polis telah mengenal pasti dan mengambil langkah menutup beberapa laluan tikus di darat dan laut di lokaliti terbabit,” katanya di sini hari ini.

Pelaksanaan PKPD di penempatan haram penduduk Myanmar di Bukit Malut itu akan berkuat kuasa selama 14 hari berakhir pada 9 Ogos nanti.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan langkah meletakkan kawasan penempatan penduduk bangsa Myanmar di Bukit Malut di sini di bawah PKPD mulai esok adalah tepat kerana kawasan itu ibarat ‘ bom jangka’ yang boleh meletuskan penularan Covid-19 yang buruk di pulau peranginan ini.

Ini kerana kebanyakan penduduk di penempatan itu didakwa tidak memberi kerjasama dalam mengesan kontak rapat bagi mengelakkan wabak tersebut terus merebak.

Shariman berkata, kerjasama penduduk diperlukan untuk menyalurkan maklumat bagi mengesan individu-individu yang cuba keluar dari kawasan PKPD tanpa kebenaran.

“Kita tidak mahu ada penduduk cuba mencuri keluar dari kawasan PKPD itu kerana tindakan itu boleh menimbulkan keadaan yang lebih buruk sekiranya berlaku penularan Covid-19 di lokaliti lain,” katanya.

Tambahnya, beliau turut meminta penduduk di kawasan itu memberikan kerjasama dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di kawasan tersebut.

Sementara seorang penduduk yang mahu dikenali Abdullah, 48, berkata, dia mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKPD di kawasan ini.

Katanya, pelaksanaan PKPD itu diharapkan dapat mengawal penularan Covid-19 yang semakin merebak di perkampungan ini.

“Saya berharap penduduk dapat mematuhi arahan pihak kerajaan sepanjang tempoh PKPD untuk keselamatan bersama ” ujarnya.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali Rahman, 51, pula berkata, penduduk di kampung ini sedia melakukan ujian saringan Covid-19 apabila PKPD dilaksanakan di kawasan ini.

“Diharapkan semua penduduk memberi kerjasama yang baik kepada pihak Kementerian Kesihatan yang akan melakukan
ujian saringan Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN