KULAI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan penduduk sekitar khususnya yang menerima air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, Skudai tidak perlu bimbang dengan insiden tumpahan bahan kimia yang berlaku di Sungai Skudai, baru-baru ini.
Pengarah JAS Johor, Dr. Famey Yusof berkata, hal demikian kerana kejadian tumpahan bahan kimia berkenaan telah ditangani dengan kadar segera sebelum bekalan air mentah di sungai berkenaan terjejas.
“Selepas mendapat maklumat berhubung kejadian ini, pihak berkuasa terus bertindak mengambil tindakan dengan menutup semua kawasan punca tumpahan, agar ia tidak terus mengalir ke dalam Sungai Skudai.
“Tindakan pantas perlu dibuat kerana di Sungai Skudai terdapat LRA, jadi kita tak mahu loji itu perlu ditutup walaupun jarak antara LRA terbabit dan lokasi tumpahan sekitar 20 kilometer.

“Setakat ini, Ranhill SAJ maklumkan tiada masalah sama ada bau atau bacaan kualiti air dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembersihan tumpahan di lokasi kejadian, di sini semalam
Tambah Famey, sehubungan itu masyarakat tidak perlu berasa bimbang kerana pencemaran itu sudah berjaya dikawal.
“Kawasan utama di sungai berkenaan sudah dibersihkan, apa yang masih boleh dilihat adalah seperti lapisan minyak di permukaan, itu yang kita boleh nampak sedikit berkilat.
“Kotoran itu merupakan kesan daripada tumpahan minyak awal, bukan kerana masih ada tumpahan yang berterusan,” ujarnya.
Sementara itu Fahmey berkata, beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian pencemaran Sungai Sengkang, akibat pembuangan sisa kimia sudah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Famey berkata, pegawai penyiasat jabatan itu memanggil individu-individu berkenaan untuk diambil keterangan pagi semalam.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak dapat memperincikan hasil dapatan kerana dikhuatiri mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pihak yang terlibat dan tidak dapat mendedahkannya kerana boleh mengganggu siasatan.
“Apa yang boleh dikongsikan kita telah merakamkan keterangan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya
Tumpahan bahan kimia berpunca daripada sebuah stor penyimpanan haram di Kampung Baru Sengkang, Kulai itu telah dapat dibendung pada peringkat awal susulan laporan diterima dari penduduk setempat, Sabtu lalu.
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, kejadian bahan kimia yang memasuki Sungai Sengkang dan Sungai Skudai sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran sungai semalam dipercayai dilakukan secara sengaja.- UTUSAN ONLINE










