KOTA KINABALU: Pemuda UMNO Sabah menuntut Perdana Menteri segera meletak jawatan berikutan tindakan memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong dalam siri muslihat politik berkaitan Ordinan Darurat.
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera meletak jawatan sebagai satu tanggungjawab moral kerana gagal menghayati prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara dan Keluhuran Perlembagaan.
Beliau berkata, ahli-ahli Parlimen UMNO juga perlu segera menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 24 Julai yang sewenang-wenangnya tidak mengendahkan titah Agong untuk membentang dan membahas ordinan berkenaan amat mengecewakan.
Malah, menteri tersebut dengan bongkaknya memberitahu sidang Parlimen bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan biarpun belum mendapat perkenan Agong. Ini adalah satu pencabulan perlembagaan negara.
“Muslihat menteri ini mengundang kemurkaan Agong sehingga baginda menzahirkan perasaan dukacita melalui kenyataan pada awal hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini Agong bertitah bagi meminta Ordinan-Ordinan Darurat 2021 dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini, kerajaan PN masih gagal menuruti titah Agong untuk membentangkan ordinan-ordinan tersebut dan ia kelihatan seperti satu penderhakaan dan penghinaan terhadap Ketua Utama Negara.
Jelas beliau, selari dengan asas dan tujuan penubuhan UMNO mengikut Fasal 3 perlembagaannya, semua ahli-ahli Parlimen UMNO perlu segera menarik sokongan daripada kerajaan dan menteri serta timbalan menteri mahupun pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) UMNO harus mendukung titah Agong dengan meletak jawatan secara serta merta.
“Jangan lagi berkompromi dengan kerajaan yang telah durhaka. Ketahuilah bahawa tuntutan dan desakan ini dibuat kerana mengambil kira kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat yang sedang risau akan nasib dan untung mereka kerana kegagalan kerajaan menyakinkan mereka tentang apa akan berlaku seterusnya,” katanya. UTUSAN ONLINE