JOHOR BAHRU: Pemuda UMNO Johor tidak terkejut mendengar dakwaan terdapat beberapa pemimpin Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri itu yang ingin menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) Johor.
Ketuanya, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, ini bukanlah pertama kali beliau mendengar desas-desus mengenai perkara tersebut membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang digembar-gemburkan dalam kerajaan PN.
Katanya, tidak hairanlah perkara tersebut akan timbul memandangkan senario dalam PN itu sendiri tidaklah begitu stabil.
“Bagaimanapun, buat masa ini kita kena akur yang seluruh jentera dan pengerusi parti untuk duduk semeja membincangkan isu rakyat yang seharusnya diberikan keutamaan lebih-lebih lagi ketika berdepan penularan pandemik (Covid-19).
“Jika kita lihat senario politik yang tidak stabil ketika ini, ramai pemimpin yang banyak bermain politik berbanding memberi tumpuan kepada isu teras. Ada baiknya, kita ketepikan perbezaan pendapat dan berganding bahu memikirkan soal rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Bank Makanan di Dewanraya Taman Perbadanan Islam, Taman Suria di sini hari ini.
Kelmarin, ADUN Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh dilaporkan berkata empat ADUN Bersatu Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan PN Johor jika UMNO masih mendesak untuk menukar kerajaan di peringkat Pusat.
Mengulas lanjut, Mohd. Hairi memberitahu, Pergerakan Pemuda UMNO Johor turut menjunjung mandat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahukan semua ahli politik di negeri ini atau mana-mana pihak untuk memberi keutamaan kepada krisis kesihatan dan ekonomi.
Katanya, beliau akan meminta seluruh Pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negeri ini untuk berpegang kepada kata-kata Tunku Ismail dan membantu rakyat yang dalam kesusahan ini seramai mungkin.
“Bagi menyelesaikan isu rakyat, kita harus bersama dan Pemuda tidak ada masalah untuk menjalinkan kerjasama dengan parti lain bagi mencapai matlamat yang sama,” ujarnya.
Semalam Tunku Ismail mengingatkan, semua ahli politik khususnya di negeri ini melakukan gencatan politik buat sementara sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada rakyat.
“Anda harus memberikan keutamaan kepada krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang kini berada di tahap yang amat membimbangkan. Sekarang bukan masa untuk berpolitik. Anda semua dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat demi rakyat dan negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE










