PONTIAN: Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan bersama 60 karton rokok yang tidak mempunyai cukai Jabatan Kastam di sebuah premis perniagaan di Jalan Mutiara 6, Pusat Perniagaan Benut di sini, malam tadi.
Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintenden Dimin Awang berkata, rokok seludup yang dirampas itu masing-masing berjenama LA sebanyak 30 karton dan bakinya rokok jenama U2.
Katanya, Op Kontraban yang diadakan kira-kira pukul 10.30 malam itu adalah hasil risikan dan maklumat daripada orang awam yang prihatin dengan isu lambakan barangan kontraban di negara ini.
Menurut beliau, lelaki yang ditahan itu telah menjadikan premis tersebut sebagai tempat penyimpanan rokok-rokok seludup sebelum diedarkan kepada peruncit-peruncit di kawasan Pontian.
“Kami percaya dengan penahanan lelaki ini dapat membantu mengekang penyeludupan rokok seludup di sekitar Pontian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Dimin, anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM12,144, manakala suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bagi tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya meminta orang awam untuk terus menyalurkan maklumat bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan yang tidak diwartakan. -UTUSAN ONLINE