Dapur C' Timah 'nafas' baharu pemandu jentera selepas hilang kerja - Utusan Malaysia

Dapur C’ Timah ‘nafas’ baharu pemandu jentera selepas hilang kerja

MUHAMAD Lutfi Mohamad Supian (kiri) dan isterinya, Nguyen Fatimah Abdullah kini berniaga makanan demi kelangsungan hidup selepas diberhentikan kerja ekoran pandemik Covid-19 tahun lalu di Bandar Penawar, Kota Tinggi di Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang bapa nekad menukar kerjaya daripada pemandu jentera berat kepada peniaga makanan demi kelangsungan hidup selepas diberhentikan kerja ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Muhammad Lutfi Mohamad Supian, 48, berkata, pada awalnya dia agak buntu selepas majikan terpaksa memberhentikan dia pada Julai tahun lalu kerana perniagaan tidak dapat beroperasi.

Katanya, dengan pendapatan bulanan yang mencecah sehingga RM3,000 pada masa itu membuatkan dia hilang punca kerana perlu menyara isteri dan empat orang anak yang masih kecil dan bersekolah.

“Saya benar-benar hilang punca ketika itu. Memikirkan anak-anak, saya dan isteri, Nguyen Fatimah Abdullah, 36, nekad sahaja cuba-cuba jual makanan secara cash on delivery (COD) sebagai alternatif.

“Syukur ia mendapat sambutan, bila sudah mendapat sambutan kami pacak khemah pula untuk berjualan sementara menunggu permohonan kelulusan permit tapak dari pihak berkuasa tempatan.

“Alhamdulillah urusan kami mencari rezeki untuk anak-anak dipermudahkan apabila permohonan permit berniaga diluluskan dan kami dibenarkan berniaga di kawasan lapang di sebelah pejabat pos di sini,” katanya ketika ditemui di Bandar Penawar, di sini, semalam.

Muhammad Lutfi berkata, dia dan isteri tidak menyangka sama sekali akan menjadi peniaga bahkan tidak terlintas di fikiran mereka akan menjual makanan untuk menyara hidup.

Katanya, kini sudah lebih setahun mereka menjual aneka makanan antaranya Vietnam roll, mee ramen, ayam korea, yong tau fu dan pelbagai lagi.

Jelasnya, dia dan isteri terpaksa meninggalkan anak-anaknya yang berusia 12, 10, 6 dan 4 tahun di rumah ketika berniaga namun memasang kamera litar tertutup agar dapat membuat pemantauan dari jauh.

“Semuanya kami buat demi anak-anak. Bukan semata-mata untuk mengejar keuntungan berniaga. Tambahan pula ada sahaja hari yang mana tiada pelanggan. Janji dapat lepas untuk makan minum, bayar sewa rumah itu sudah memadai.

“Kami juga ada menyediakan penghantaran terus ke rumah pelanggan bagi kawasan Bandar Penawar hingga ke Pengerang,” katanya.

Orang ramai yang mahu membuat tempahan makanan daripada mereka melalui gerai dinamakan Dapur C’ Timah oleh menghubungi talian 011-2097 4279.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN