Pastikan rumah perlindungan didaftar elak kes Bella berulang - Pejuang - Utusan Malaysia

Pastikan rumah perlindungan didaftar elak kes Bella berulang – Pejuang

CHE ASMA IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan supaya semua rumah perlindungan di negara ini berdaftar dan hendaklah mempunyai pekerja sosial yang berkelayakan dan kaunselor yang yang berdaftar dalam mengendalikan kes-kes di rumah-rumah perlindungan sebagai syarat pengoperasian.

Pada masa sama, pengurus dan pekerja hendaklah melalui saringan rekod jenayah lampau dan saringan kesihatan mental terlebih dahulu sebelum dibenarkan bekerja di rumah rumah perlindungan. Saringan ini perlu dibuat secara tahunan atau dwitahunan; 

Ketua Pejuanita, Parti Pejuang Tanah Air  (Pejuang) Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, rumah perlindungan perlu mengemukakan laporan audit kewangan tahunan dan laporan tahunan untuk paparan orang ramai sebagai amalan baik tadbir urus pengurusan.

“Orang ramai pula perlu menjadi mata dan telinga masyarakat memantau kes-kes penderaan yang berlaku dan membuat aduan segera kepada pihak berkuasa untuk siasatan, “ujarnya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Beliau menyatakan demikian susulan seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) Bella,  berumur 13 tahun yang disyaki didera ketika di bawah jagaan Rumah Bonda, di ibu negara.

Pejuanita yang percayai itu hanyalah sekelumit daripada bilangan kes-kes pengabaian yang masih tidak dilaporkan, menuntut supaya keadilan dan pembelaan diberi kepada Bella dan kes-kes yang seumpamanya. 

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyita premis rumah kebajikan tersebut pada 12 Julai lalu setelah didapati melanggar syarat dan beroperasi tanpa berdaftar dengan JKM sejak 2019 lagi. 

Menurut Che Asmah, Rumah Bonda merupakan rumah kebajikan yang dikenali ramai dan sering mendapat kunjungan daripada rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyampaikan pelbagai sumbangan sama ada dalam bentuk barangan atau kewangan. 

“Kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan dengan lebih awal juga menimbulkan keraguan orang ramai terhadap kewibawaan pihak berkuasa. 

“Apakah ada wujud kepentingan lain yang ingin dilindungi, “ ujarnya.

Justeru, beliau berharap supaya tindakan tegas diambil bagi memastikan rumah perlindungan atau penjagaan beroperasi dengan mematuhi semua syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Ini kerana katanya, penguat kuasaan secara bersepadu bersama agensi-agensi kerajaan ke atas semua premis rumah kebajikan dan rumah perlindungan perlu dibuat secara lebih agresif. 

Rumah kebajikan tidak seharusnya mempergunakan penghuni untuk meraih simpati orang ramai untuk kutipan sumbangan dalam masa yang sama tidak menunaikan tanggungjawab penjagaan sempurna yang telah diamanahkan. 

“Orang ramai juga disarankan untuk menjadi penderma yang bijak dengan sentiasa menyemak status keabsahan pendaftaran rumah-rumah kebajikan sebelum menyalurkan bantuan kewangan bagi memastikan sumbangan kita tidak disalah guna, “ ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN