BUKIT MERTAJAM: “Rasa lain sikit bila divaksin dalam bas ni. Teruja pun ada.”
Itu kata seorang penerima vaksin, Sarina Ayub, 46, ketika ditanya mengenai perasaannya semasa menerima suntikan vaksin bagi mencegah penularan Covid-19 yang diadakan secara bergerak di Kampung Guar Jering di sini, semalam.
Dia yang hadir ditemani suami, Mohd. Ali Zawawi, 46, juga gembira kerana kedua-dua mereka menerima vaksin pada hari yang sama.
“Alhamdulillah, buat macam ni (suntikan vaksin secara bergerak) senang bagi orang kampung yang tinggal jauh di kawasan pedalaman,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pasangan itu merupakan antara kira-kira 250 penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Guar Jering iaitu PPV bergerak pertama seumpamanya dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Pulau Pinang setakat ini.
Dalam pada itu, Sektreriat Pengurusan Bencana Daerah SPT yang juga Penyelaras PPV Bergerak SPT, Kapten (Pertahanan Awam) Mohd. Fadhil Fahmi Zaini berkata, sebanyak lapan buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti terlibat dengan program yang diadakan selama sehari bermula pukul 9 pagi itu.
“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah diamanahkan menjadi penyelaras untuk program ini yang menyasarkan golongan kurang upaya, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kritikal sebagai kumpulan penerima vaksin.
“Kita berharap dengan adanya program seperti ini dapat membantu mempercepatkan proses vaksinasi dalam komuniti,” katanya.
Agensi lain yang turut terlibat dalam program itu termasuk pejabat daerah, pejabat kesihatan daerah (PKD), Jabatan Perpaduan negeri, pejabat DUN, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan sebagainya.
Selain menjalankan proses suntikan vaksin di dalam bas, sebanyak dua buah katil turut disediakan khusus untuk penerima vaksin yang tidak berdaya terutamanya warga emas atau mereka yang berkerusi roda.
Jelas Mohd. Fadhil Fahmi, selepas Kampung Guar Jering, mereka juga dijangka ‘berkampung’ di Kuala Juru iaitu satu lagi lokasi dalam daerah SPT untuk program yang sama.
“Insya-Allah, jika sambutan yang diterima memberangsangkan, kita akan perluaskan program ini ke daerah lain pula di Pulau Pinang,” katanya yang memberitahu, perkhidmatan suntikan vaksin dari rumah ke rumah juga akan diertimbangkan jika ada keperluan yang mendesak selepas ini.- UTUSAN ONLINE










