KUALA TERENGGANU: Parlimen sepatutnya menjadi medan untuk mencari formula terbaik bagi mendepani dan menguruskan hal-hal berkaitan Covid-19 menerusi perancangan strategik dan tidak sepatutnya kesucian dewan tersebut dicemarkan dengan polemik serta retorik.
Timbalan Presiden Majlis Senator, Datuk Razali Idris berkata, tingkah laku kelompok pemimpin pembangkang terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di samping Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sesi penggulungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) jelas merupakan perbuatan yang tidak baik.
“Sikap ahli Parlimen pembangkang langsung tidak menunjukkan yang mereka adalah penggubal undang-undang, malah gagal menghormati Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat hingga mencemarkan nama baik institusi Parlimen.
“Rakyat sangat hairan dengan penyakit mental ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat semalam, sedangkan mereka amat mengharapkan penerangan, perbincangan, perbahasan dan pertanyaan yang bernas serta berilmiah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kalangan ahli Parlimen pembangkang membuat kecoh secara melampau semasa berhujah di Dewan Rakyat, semalam.
Semalam, penerangan Perdana Menteri berkenaan PPN diganggu dengan beberapa ahli-ahli Parlimen pembangkang yang bangun mempertikaikan perjalanan sidang khas Parlimen.
Muhyiddin hanya sempat membacakan mukadimah penerangan PPN, namun tergendala seketika apabila segelintir ahli-ahli Parlimen pembangkang seperti Lim Guan Eng (PH-Bagan) dan Gobind Deo Singh (PH-Puchong) membantah keputusan dibuat Azhar Azizan.
Dalam pada itu, Razali berkata, semua ahli Parlimen wajib menghormati hasrat murni Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Sidang Khas Parlimen itu dijayakan dalam keadaan lancar sebagai satu proses semak dan imbang untuk melihat negara terus ditadbir dengan baik.
Katanya, jangan momokkan masyarakat dengan sikap jelik dan membuang masa sepanjang sidang khas itu kerana rakyat memerhatikan setiap wakil rakyat yang berwibawa untuk dipilih dalam pilihan raya umum akan datang. – UTUSAN ONLINE