PKP: Orang bujang berisiko murung - Utusan Malaysia

PKP: Orang bujang berisiko murung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Golongan bujang yang tinggal bersendirian dan jauh daripada keluarga adalah antara golongan yang berdepan risiko mengalami masalah kemurungan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kaunselor Pusat Kaunseling Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Nurul Naimah Rose berkata, tanpa disedari, golongan bujang khususnya di ibu kota sebenarnya yang pa­ling dibimbangkan menghadapi masalah kemurungan kerana apa jua masalah terpaksa dihadapi secara bersendirian.

DR. NURUL NAIMAH ROSE

Malah, katanya, ada individu yang mengadu mereka sangat sunyi dan berasa bimbang secara keterlaluan selain sering berfikiran negatif apabila terlalu lama bersendirian tanpa berjumpa dengan ahli keluarga.

“Sememangnya diakui, musim PKP ramai yang mengalami masalah kemurungan selepas ada yang hilang sumber pendapatan dan pelbagai lagi masalah lain sepanjang tempoh tersebut.

“Namun, yang tinggal berseorangan dan jauh dengan keluarga ini adalah paling membimbangkan (berdepan risiko kemurungan). Selalu membuat panggilan atau panggilan video tidak sama dengan berjumpa secara bersemuka.

“Apabila tinggal bersendirian terlalu lama membuat mereka fikir macam-macam dan itu tidak termasuk lagi mereka yang hilang kerja dan dalam masa sama terpaksa hidup berseorangan jauh dengan keluarga. Emosi dan jiwa mereka (golongan bujang) juga sama dengan orang lain,” katanya.

Tambah Nurul Naimah, masalah kemurungan jika tidak dikawal boleh memberi kesan yang buruk kepada individu itu sendiri termasuk boleh melakukan perkara di luar kewarasan.

Katanya, ada setengah yang berdepan dengan masalah kemurungan itu boleh bertindak ganas terhadap orang lain, terhadap diri sendiri dan paling akhir mengambil keputusan membunuh diri.

“Masalah ini berlaku dalam keadaan tidak dijangka dengan mereka yang mengalami masalah itu boleh hilang kewarasan sebentar, namun, tidak bermaksud mereka gila.

“Ia berlaku apabila terlalu banyak berfikir secara berlebihan, risau atau takut apa akan jadi pada masa hadapan dan pelbagai lagi sehingga mendorong merekaOrang bujang berisiko murung menghadapi tekanan seterusnya menghadapi masalah kemurungan,” katanya.

Katanya, ramai berdepan situasi yang tidak pernah dihadapi sebelum ini selain dalam keadaan mereka sendiri tidak bersedia dalam tempoh PKP itu.

Ujar Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan Unimap itu, apabila berada di dalam keadaan tekanan selepas hilang sumber pendapatan, kerja dan sebagainya, ada yang tidak dapat berfikir dengan baik.

“Sokongan dan bantuan sangat diperlukan bagi membantu golongan yang menghadapi masalah kemurungan ini. Selain itu, ada juga individu yang menghadapi masalah, namun, dapat menguruskan tekanan ini dengan baik,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN