PETALING JAYA: Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berpanjangan dalam tempoh yang lama iaitu melebihi sebulan boleh menjejaskan kualiti hidup rakyat selain boleh mendatangkan kemurungan.
Lebih dahsyat, kemurungan ini boleh menyebabkan individu mencederakan diri sendiri atau orang lain termasuk membunuh diri berikutan mengalami tekanan melampau.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Salina Nen berpandangan, PKP yang bersifat terkurung daripada aktiviti bebas dapat mencetuskan kesan psikologi yang berpanjangan kepada komuniti.
“Situasi pandemik yang tidak boleh dijangka walaupun telah wujud vaksin serta penularan Covid-19 yang lebih kebal dan tidak dapat diatasi dengan vaksin sedia ada, semua aspek ini secara jangka panjang akan mencetuskan tekanan psikologi kepada masyarakat.
“Malah, kesan psikologi akibat pandemik Covid-19 mungkin akan berpanjangan walaupun ia sudah berakhir nanti,” katanya semalam.
Semalam, pihak Kementerian Kesihatan mencadangkan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) di negeri-negeri melibatkan kes Covid-19 tinggi bagi mengekang penularan wabak tersebut.
Malah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut bertitah sekiranya PKP yang ketat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, biarlah ia dilaksanakan buat kali terakhir tetapi berkesan.
Tambah Salina, kajian terdahulu mendapati, situasi pandemik sebegini memberi impak psikologi kerana mengubah secara keseluruhan aktiviti norma seharian.
Namun, katanya, apa yang perlu masyarakat lakukan adalah sentiasa mengambil sisi positif daripada apa yang berlaku dan menjadi individu yang lebih berdaya tahan tidak kira dari segi mental atau fizikal.
“Apa yang lebih penting, sekiranya tekanan hidup dirasakan terlalu berat untuk ditanggung, dapatkan bantuan kaunselor atau psikologi, bercakap dengan individu yang dipercayai dan minta pertolongan,” katanya.
Semalam, pihak Kementerian Kesihatan mencadangkan pelaksanaan semula PKP di negeri-negeri melibatkan kes Covid-19 tinggi bagi mengekang penularan wabak tersebut. – UTUSAN ONLINE










