KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini semalam mencadangkan kes saman fitnah RM3 juta sebuah syarikat hiasan dalaman dan perabot terhadap pelakon dan pengacara Awal Ashaari berhubung isu pengubahsuaian rumah dirujuk ke Pusat Mediasi untuk penyelesaian.
Perkara itu dimaklumkan peguam Nurshafiqa Balqish Jaffri yang mewakili Naz Empire Sdn. Bhd. selaku plaintif ketika dihubungi di sini.
Menurut Nurshafiqa, Hakim Datuk Ahmad Bache pada prosiding pengurusan kes mencadangkan kedua-dua pihak merujuk kes saman ke Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi di sini dan sekiranya tidak mencapai penyelesaian kes akan diteruskan dengan perbicaraan.
Kata peguam itu, mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 3 September ini bagi pengurusan kes selanjutnya untuk kedua-dua pihak memaklumkan perkembangan lanjut mengenai perkara itu.
Dalam prosiding secara dalam talian itu, Awal selaku defendan diwakili peguam Muna Farhana Zainuddin.
Selain itu, Nurshafiqa turut memaklumkan mahkamah membatalkan saman terhadap dua lagi defendan iaitu Nawal Yasmin Mat Noh dan Muhammad Hilmi Zulkifli masing-masing defendan kedua dan ketiga selepas plaintif memfailkan notis tidak meneruskan saman terhadap mereka kerana penyelesaian telah dibuat di luar mahkamah.
Naz Empire Sdn. Bhd. selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu melalui Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak pada 13 November tahun lalu dengan menamakan Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari sebagai defendan pertama manakala dua lagi individu Nawal Yasmin Mat Noh dan Muhammad Hilmi Zulkifli masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.
Sebelum ini, syarikat itu pada 13 November tahun lalu mengemukakan saman berjumlah RM3 juta terhadap Awal kerana didakwa menjatuhkan imej, jenama dan reputasi syarikat serta pemilik syarikat terbabit di media sosial
Syarikat itu pada Februari lalu, sekali lagi memfailkan saman RM300,000 terhadap Awal yang didakwa melanggar kontrak.
Ia berikutan Awal dikatakan melanggar kontrak dengan memberhentikan syarikat terbabit daripada terus membuat kerja pengubahsuaian dan memungkiri perjanjian dipersetujui kedua belah pihak. – UTUSAN ONLINE










