Mukhriz tak 'geli' jadi Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Mukhriz tak ‘geli’ jadi Perdana Menteri

Calon PRN Johor yang akan diperkenalkan nanti mestilah calon bersih, cekap dan amanah. - Mukhriz Mahathir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Legasi Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak semestinya diteruskan anak-anaknya sebaliknya oleh sesiapa sahaja yang mendukung pemikiran bekas Perdana Menteri itu.

Presiden (Penaja) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ramai yang menyokong apa yang telah dilakukan oleh bapanya selama ini, bukan setakat pemikiran tetapi juga pendekatan yang digunakan.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa penubuhan Pejuang bertujuan membolehkannya menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai cita-cita sedemikian disebabkan tahu betapa beratnya beban seorang Perdana Menteri kerana lebih 23 tahun menjadi anak kepada Perdana Menteri.

“Saya nak nyatakan (macam) orang Kedah kata, tak ‘geli’ nak jadi Perdana Menteri, macam beria-ria sangat (atau) kemaruk pun lebih kurang macam itulah.

“Saya pernah menjadi Menteri Besar dua kali dan tahu tanggungjawab serta amanah daripada rakyat begitu berat untuk dipikul, yang mana kalau kita tersilap buat keputusan, kitalah yang kena tanggung.

“Itu untuk negeri sahaja, kalau negara dengan penduduk 33 juta orang, saya ingat bebanan tanggungjawab akan tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak kenyanglah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mukhriz memberitahu, beliau kadang-kadang geli hati melihat orang yang begitu beria-ria sangat hendak menjadi Perdana Menteri dan tertanya-tanya adakah individu terbabit betul-betul faham apa yang dikejar itu.

“Saya ingat cerita orang lama, macam dulu nak suruh jadi calon pilihan raya dan pemimpin masyarakat, orang tolak.

“Sebab dia ukur baju pada badan sendiri dan tahu dia tak mampu (sebab) benda ini berat. Takut nanti kalau dia tersilap langkah dan buat sesuatu yang sebenarnya memudaratkan pihak yang diwakili,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN