Masri Datuk Bandar Seremban yang baharu - Utusan Malaysia

Masri Datuk Bandar Seremban yang baharu

MASRI Razali mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Seremban yang baharu di hadapan Aminuddin Harun dalam majlis yang berlangsung di Seremban hari ini.-IHSAN PEJABAT MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pengurusan), Datuk Masri Razali, 49, dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Masri dilantik bagi menggantikan Datuk Zazali Salehudin yang bersara wajib pada hari ini.

“Kerajaan Negeri Sembilan telah bersetuju melantik Datuk Masri Razali sebagai Datuk Bandar MBS yang baharu bermula 23 Julai 2021.

MASRI RAZALI

“Penyerahan tugas dan proses mengangkat sumpah telah berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masri yang mempunyai Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada tahun 1997 sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

Beliau seterusnya menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun yang sama dan pernah berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga merakam penghargaan kepada Zazali yang merupakan Datuk Bandar MBS pertama atas perkhidmatan yang telah diberikan.

“Beliau menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-60 pada 23 Julai 2021 dan secara rasminya bersara wajib daripada perkhidmatan awam. Beliau merupakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar pada 1 Januari 2020. 

“Semasa perkhidmatannya, bandar Seremban telah berjaya dinaik taraf sebagai sebuah bandar raya dan buat pertama kalinya, dua pihak berkuasa tempatan telah digabungkan untuk membentuk Majlis Bandaraya Seremban,” katanya lagi.

Jelas Menteri Besar, beliau berharap bandar raya Seremban yang makmur akan terus berkembang dengan komitmen dan perkhidmatan terbaik yang akan diberikan oleh Datuk Bandar kepada semua lapisan masyarakat.-  UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya