PETALING JAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi negara kerana kedua-duanya menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) berpendapat, kesan itu boleh dilihat lebih jelas menerusi penghantaran barang-barang keperluan yang lebih lambat kerana produktiviti kilang yang semakin perlahan serta menyebabkan pelaburan menjadi sia-sia kerana aktiviti pembelian semakin berkurangan.
Justeru, menurut beliau, tempoh PKPD bermula hari ini hingga 16 Julai ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mempercepat proses vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur selaku penyumbang terbesar bilangan kes positif Covid-19 di negara ini.
“Walaupun perniagaan masih dibenarkan dibuka dari 8 pagi hingga 8 malam, batasan pergerakan sedikit sebanyak mengurangkan transaksi perniagaan dan keyakinan pengguna dan pelabur juga terjejas.
“Pakej Pemulih yang diumum memastikan impak negatif tersebut dapat dikurangkan. Bagaimanapun, usaha memberi vaksin ke atas penduduk Selangor dan Kuala Lumpur harus dipergiat supaya PKPD ini hanya menjadi langkah jangka masa pendek dan tidak memberi impak yang teruk kepada ekonomi di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam pada itu, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Mad Ithnin Salleh berkata, kerajaan boleh memanfaatkan PKPD dengan meneliti semula kebenaran operasi di kilang-kilang serta percepat vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Kalau dilihat kluster baharu kebanyakannya datang dari kilang, jadi kerajaan harus sedar dan memperbaiki pengurusan operasi di kilang, perlu tumpu kepada root cause, kalau tidak buat PKPD sekali pun tidak akan selesai masalah.
“Kerajaan juga perlu menggunakan PKPD ini untuk mempercepatkan proses vaksinasi di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur kerana kedua-dua tempat ini merupakan pusat perindustrian utama negara. Malah, kalau penduduk dari dua kawasan ini dibenarkan merentas negeri, pastinya wabak Covid-19 akan merebak, jadi beri tumpuan ekstra kepada kedua-dua tempat ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga menjangkakan sektor tertentu seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terkesan lebih teruk ketika tempoh PKPD.
“PKS sebelum ini memaklumkan mereka mengalami kerugian kira-kira RM500,000 ketika PKP dilaksanakan dalam tempoh sebulan, tetapi pelaksanaan PKPD ini akan menyebabkan lebih ramai yang rugi dan tutup kedai.
“Malah, boleh dianggarkan dalam 10 orang penjaja, lima akan berhenti berniaga, PKP sebelum ini pun mereka sudah susah tetapi masih boleh meraih sedikit pendapatan, tetapi PKPD ini akan menyebabkan mereka makin susah. Kalau sebelum ini mereka boleh bertahan, tetapi selepas ini mungkin ada yang tidak akan bertahan lama,” katanya.= UTUSAN ONLINE










