MAIPk bantu 5 sekeluarga tinggal dalam kontena - Utusan Malaysia

MAIPk bantu 5 sekeluarga tinggal dalam kontena

KERATAN laporan Utusan Online 8 Julai 2021
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lima sekeluarga yang tinggal dalam sebuah kontena di Bagan Serai selepas rumah mereka terbakar tahun lalu yang disiarkan dalam Utusan Malaysia Khamis lalu, kini berpindah ke rumah sewa dengan bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK).

Keluarga itu terdiri daripada Shahrunizam Jamhari, 49, dan isterinya, Zanariah Mar, 47 serta tiga anak mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan berusia 10 hingga 15 tahun.

MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan, keluarga berkenaan sudah berpindah ke rumah sewa yang disediakan pihak MAIPk sejak Isnin.

Menurut kenyataan itu, MAIPk Bagan Serai diketuai oleh Pegawai Baitulmal Daerah, Daud Shehamy berjumpa dengan sekeluarga semalam bagi menyampaikan duit sewa rumah kepada Shahrunizam.

“Siasatan MAIPk mendapati keluarga berkenaan pernah menerima bantuan bina rumah jenis B yang mempunyai dua bilik daripada MAIPk pada 2015.

“Bagaimanapun, rumah  mereka musnah dalam kebakaran 24 Julai tahun lalu dan Shahrunizam hadir ke pejabat MAIPk Bagan Serai untuk memohon semula bantuan bina rumah.

“MAIPk Bagan Serai telah menjalankan siasatan pada 27 Oktober 2020 namun gagal menghubungi Shahrunizam dan sekeluarga,” katanya.

Menurut MAIPk, keadaan itu berlarutan sehingga awal April lalu selain beberapa usaha telah dilakukan untuk menghubungi dan menjejaki keluarga berkenaan namun menemukan jalan buntu.

“Pada penghujung April lalu akhirnya MAIPk Bagan Serai menghubungi Shahrunizam dan dia menyatakan tinggal di rumah bapanya.

“Siasatan dijalankan pada keesokannya  dan kini permohonan keluarga itu masih menunggu untuk dipertimbang oleh pihak mesyuarat tertinggi MAIPk,” katanya.

MAIPk menjelaskan, Shahrulnizam sekeluarga baru sahaja tinggal  di kabin tersebut sejak 2 April lalu sebelum menjadi tular sejak beberapa hari lepas.

Utusan Online pada Khamis lalu menyiarkan kisah keluarga yang tinggal dalam kabin kontena setelah berputus asa apabila hampir setahun menunggu dan merasakan tiada harapan mendapatkan bantuan untuk rumah baharu.

Ekoran itu, Shahrunizam mengambil keputusan membina rumah kabin kontena walaupun terpaksa berhimpit biarpun dalam keadaan tidak selesa. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN