Lima beradik yatim gembira sudah ada tempat berteduh - Utusan Malaysia

Lima beradik yatim gembira sudah ada tempat berteduh

NURFARRA Asyikin Norazmi (kanan) bersama empat adiknya menunjukkan tapak rumah baharu yang akan dibina oleh LZNK di Kampung Pasir Puteh, Tualak, Kuala Nerang, Padang Terap - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang kakak yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga menjaga empat adiknya bakal mendiami rumah baharu yang disumbangkan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kampung Pasir Puteh, Tualak, Kuala Nerang di sini.

Kakak sulung, Nurfarra Asyikin Norazmi, 20, bersama empat beradiknya, Mohd. Hafiq Ridzuan, 18, Nur Anis Amira, 15, Nuraina Amalyna, 12, dan Nurshafinas Fareha, 4, kini menumpang di rumah bapa saudaranya yang tinggal berdekatan.

Lima beradik tersebut tiada tempat bergantung selepas kematian ibu mereka, Norhashimah Abdul Majid, 43, pada 24 Jun lalu, sementara bapanya pula telah berpisah dengan arwah ibu sebelum ini.

Nurfarra Asyikin berkata, dia dan adik-adiknya tidak sabar untuk tinggal di rumah baharu tiga bilik itu yang dijangka siap dua bulan lagi.

“Sebelum ini saya memang ada hasrat mencari rumah sewa untuk kami tinggal namun tidak mampu dan kami menumpang sementara di rumah bapa saudara yang mempunyai sembilan ahli keluarga,” ujarnya kepada Mingguan Malaysia.

Dia memberitahu, rumah baharu tersebut terletak di atas tanah milik nenek mereka, Banun Jasin, 96, dengan kerja-kerja membersih tapak bermula Selasa lalu.

“Rumah baharu sumbangan LZNK sangat bermakna kepada kami lima beradik kerana dapat tinggal dalam suasana lebih selesa.

“Pembinaan rumah baharu untuk kami itu juga ibarat menunai hasrat arwah ibu kami yang mahu membina rumah sendiri namun terhalang akibat kekangan kewangan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, rumah yang dibina untuk didiami lima beradik itu berharga RM45,000.

“LZNK mengharapkan sumbangan rumah tersebut dapat memberi keselesaan kepada lima beradik itu tinggal dalam suasana lebih selesa,” ujarnya.

Utusan Malaysia 25 Julai lalu melaporkan seorang gadis terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga selepas ibu mereka yang koma selama dua bulan selepas kemalangan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 24 Julai lalu. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN