‘Lembu baru laku dua ekor’ - Utusan Malaysia

‘Lembu baru laku dua ekor’

SHAMSUDIN memberi makan lembu yang diternaknya di Kampung Pak Makyong, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Hari Raya Aidiladha semakin dekat, namun, kebanyakan lembu dalam kandang masih tiada pembeli, gara-gara prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ibadat korban belum ditetapkan di negeri ini.

Rata-rata penternak mendakwa, jualan lembu untuk dikorbankan tahun ini jauh lebih perlahan berbanding tahun lalu, biarpun Aidiladha ketika itu juga disambut dalam suasana seluruh negara diancam Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Awang Yamat, 64, penternak dari Kampung Paloh, Wakaf Bharu, di sini memberitahu, tahun lalu, kesemua sembilan ekor lembu miliknya laris dijual sebulan sebelum Aidiladha.

“Tahun ini, saya ada 13 lembu untuk dijual, tetapi baru laku dua ekor. Itu pun belum terima deposit kerana pelanggan masih teragak-agak mahu tempah atau tidak bahagian masing-masing.

“Sebenarnya ramai yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat perkembangan terkini SOP ibadat korban terlebih dahulu sebelum memuktamadkan urusan jual beli,” katanya yang menetapkan harga antara RM450 hingga RM500 bagi setiap bahagian.

Bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin dilaporkan memberitahu ibadat korban tidak digalakkan dilakukan pada Aidiladha kali ini. Kerajaan negeri bagaimanapun belum mengumumkan sebarang garis panduan lain.

Sementara itu, Pengurus Ladang Ternak Pasir Pekan, di sini, Shazwan Saupi berkata, pada 2019, jualan lembu korban pihaknya mencecah 100 ekor sebelum berkurangan sedikit sahaja pada tahun lalu.

Katanya, tahun ini, jumlah itu merosot teruk kepada 25 ekor sahaja selain tiada lagi mana-mana pertubuhan, organisasi atau masjid menempah lembu korban dalam kuantiti yang besar.

“Kami menyediakan pakej korban online RM650 dan RM700 untuk satu bahagian dengan khidmat melapah dan hantar daging siap hingga ke tangga rumah. Walaupun menawarkan pelbagai kemudahan, jualan kami tetap perlahan,” katanya.

Dia turut memberitahu, selain ‘diuji’ harga dedak yang melonjak tinggi, penternak juga perlu menanggung kos permit sembelihan antara RM20 hingga RM25 bagi setiap lembu serta caj tukar nama pemilik bagi lembu yang baru dibeli.

Penternak dari Kampung Pak Makyong, Pasir Puteh, Shamsuddin Md. Nor, 55, pula berkata, dia pasrah jika kesemua 13 lembu baka kacukan peliharaannya tidak laku dijual menjelang Aidiladha kali ini.

“Wala apa pun SOP ibadat korban yang akan diumumkan kelak, saya memutuskan untuk mengorbankan seekor lembu sado jantan berusia tiga tahun bersama ahli keluarga terdekat pada pagi raya nanti,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya