Lega beras kembali ada dalam bekas - Utusan Malaysia

Lega beras kembali ada dalam bekas

HAJRAH AHMAD memasukkan beras ke dalam sebuah bekas selepas menerima bantuan daripada pelbagai pihak setelah mengibarkan bendera putih di rumahnya di Kampung Guar Nangka, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Hajrah Ahmad,50, dari Kampung Guar Nangka di sini, kelihatan lega saat memasukkan beras di dalam bekas selepas menerima bantuan daripada pelbagai pihak, semalam.

Bekas beras di rumah keluarga tersebut kembali penuh selepas wanita berkenaan dan suaminya, Azhar Mohamad Nor,45, sebelum ini cukup buntu memikirkan bekalan makanan di rumah mereka hampir kehabisan sehingga mengambil keputusan mengibarkan bendera putih di rumah terbabit.

Langkah tersebut pantas mendapat perhatian ramai pihak yang tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga itu dan mereka yang memerlukan di kawasan berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Azhar berkata, dia yang bekerja sebagai buruh binaan sudah tidak ada sumber pendapatan selepas kehilangan kerja sejak beberapa bulan lalu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, manakala duit simpanan pula sudah tidak ada lagi menyebabkan mereka tidak mampu membeli barangan keperluan.

“Lama dah hilang kerja sejak PKP lagi. Barangan makanan dan keperluan yang ada pula sudah hampir habis. Buntu dengan keadaan itu, kami mengibar bendera putih.

“Ada orang datang suruh kibar bendera di rumah jika kehabisan barangan makanan atau sudah tidak mampu membeli barangan keperluan, jadi kami kibar bendera di depan rumah ini,” katanya.

Tambah bapa kepada dua orang anak itu, ramai pihak yang tampil menghulurkan bantuan makanan selepas melihat bendera putih tersebut.

“Barangan makanan yang ada hasil daripada bantuan itu cukuplah buat kami sekeluarga dalam tempoh seminggu dua ini. Ramai yang prihatin untuk saling bantu membantu dalam keadaan mencabar ini,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai dilihat cukup prihatin dengan keadaan sekitar apabila tampil membantu mereka yang memerlukan jika melihat kibaran bendera putih di mana-mana kediaman.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, buntu selepas terputus bekalan makanan mendorong seorang individu di Kampung Kolam, Padang Besar mengibar bendera putih di rumahnya dengan harapan nasib dia dan isterinya yang diserang strok itu mendapat perhatian mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Teh Chai Ann yang mendapat maklumat mengenai situasi tersebut segera bergegas ke kediaman pasangan tersebut bagi menghulurkan bantuan dan keperluan makanan.

Kempen mengibarkan bendera putih jika terputus bekalan makanan mendapat sambutan hangat dalam media sosial sejak kelmarin.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya