Lantikan TPM, menteri kanan tidak mampu ‘kenyangkan’ rakyat - Utusan Malaysia

Lantikan TPM, menteri kanan tidak mampu ‘kenyangkan’ rakyat

SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: DAP Johor mempersoalkan lantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri yang dilihat tidak relevan dalam situasi rakyat masih terjejas akibat pandemik Covid-19 yang kekal tinggi ketika ini. 

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pelantikan yang membabitkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu hanyalah tentang ‘perut’ orang politik dan tidak mampu kenyangkan rakyat.

Katanya, sehingga ke hari ini, tiada polisi yang berkesan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membantu rakyat yang terkesan pandemik. 

“Pengumuman demi pengumuman dibuat, namun ia tidak dapat dicanai dan dibahaskan sebaiknya mengikut kehendak keperluan rakyat. Parlimen yang akan bersidang 26 Julai ini diharap ada perubahan boleh dilakukan terhadap langkah-langkah yang ingin diambil oleh kerajaan agar ia boleh betul-betul membantu rakyat.

“Malangnya, pengumuman oleh Pejabat Perdana Menteri berhubung pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan yang baru telah memberi gambaran yang salah menjelang sidang Parlimen.

“Apa kena-mengena pelantikan ini dalam Kabinet pada saat rakyat lapar dan dikurung ketat di rumah? Apa perlunya pelantikan baru itu dan ini dalam Kabinet yang ‘buncit’ sedangkan poket rakyat semakin kempis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sheikh Umar berkata, sidang Parlimen sebagai platform yang menjadi tunjang demokrasi gagal berfungsi sebaiknya di bawah pentadbiran PN.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh itu berkata, selepas hampir enam bulan proklamasi darurat dan kes masih terus meningkat dalam masa yang sama rakyat terus harapkan ada berita baik dari langkah yang lebih bijak oleh kerajaan untuk atasi masalah ini.

“Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan istana terus bertitah agar keselamatan dan nasib rakyat menjadi keutamaan. Ramai yang berlapar, hilang mata pencarian dan ada di antara mereka mempunyai anak-anak berdepan pembelajaran dalam talian yang merumitkan.

“Saya harap kerajaan masih ada rasa malu, ada rasa empati dan paling-paling tidak rasa malu kepada rakyat yang perutnya terus diikat. Ramai yang alami depresi, tak kurang juga yang mati bunuh diri.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN