Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM, meterai MOU pertama sejak ditubuhkan - Utusan Malaysia

Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM, meterai MOU pertama sejak ditubuhkan

ROZIAH Mohd. Janor (atas kanan) berucap pada Majlis Menandatangani MOU secara maya antara Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM dengan tiga syarikat korporat baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kolej Pengajian Kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mewujudkan hubungan dengan pihak industri kali pertama sejak institusi berkenaan ditubuhkan pada Mac lalu.

Syarikat terlibat dalam jalinan kerjasama industri berkenaan adalah Henkel (Malaysia) Sdn. Bhd. (Henkel), Selia-Tek Holdings Sdn Bhd (Selia-Tek) dan Utechtium Sdn Bhd (Utechtium) bagi memperkasakan kecemerlangan akademik dan penyelidikan ke peringkat lebih tinggi.

Pemangku Naib Canselor, Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor memaklumkan, jalinan kerjasama itu menandakan satu lagi kejayaan dalam perkongsian industri pintar UiTM dengan pemain industri.

“Kali ini melibatkan kerjasama UiTM dengan pengeluar produk kimia dengan Henkel (Malaysia) Sdn. Bhd., rangkaian perdagangan dan pembuatan dengan Selia-Tek Holdings Sdn. Bhd. dan platform latihan kecekapan untuk pelajar dan siswazah dengan UTECHTIUM Sdn.Bhd.

“Saya berharap agar usaha kolaboratif yang terjalin dapat memberi nilai tambah kepada semua pihak yang terlibat dalam menonjolkan kepakaran universiti tempatan dan keupayaan industri di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara ketiga-tiga syarikat berkenaan yang diadakan secara maya anjuran bersama Pejabat Jaringan Industri, Alumni dan Komuniti (ICAN) UiTM, baru-baru ini.

Roziah menambah, kerjasama MoU tersebut dilihat bakal menjadi pendorong kepada pelbagai inisiatif yang lebih bermakna dan komprehensif dalam membuka ruang penerokaan pelbagai disiplin ilmu, selain memastikan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama.

Sehubungan itu, beliau juga mengharapkan jalinan kerjasama itu diharapkan mampu membuat penemuan penyelidikan baharu yang lebih berimpak besar dan dinamik.

“Saya berasa bangga dengan kerjasama yang terjalin dan memaklumkan kepada semua yang hadir bahawa acara ini merupakan MOU pertama di bawah Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM yang baharu dibentuk,” ujarnya.

Mac lalu, pusat pengajian bagi kursus kejuruteraan UiTM seperti Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Awam, Elektrikal dan Kimia yang wujud secara berasingan sebelum ini digabungkan menjadi satu institusi yang dinamakan sebagai Kolej Pengajian Kejuruteraan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya