BALING, : Kilang Molynlycke Health Care Sdn. Bhd. yang beroperasi di Kuala Ketil diarahkan tutup sementara berikutan terdapatnya pekerja yang dijangkiti Covid 19.
Notis penutupan sementara kilang sarung tangan perubatan tersebut dijalankan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Sungai Petani, Majlis Daerah Baling dan Pejabat Daerah Baling berkuatkuasa mulai 14 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah, Superitendan Shamsudin Mamat, berkata, notis tersebut berkuatkuasa sehingga ke suatu tarikh yang akan diputuskan oleh pihak PKD Baling berdasarkan penularan jangkitan diyakini dapat dihapus atau terkawal.
“Operasi penutupan sementara yang dijalankan ini adalah disebabkan penularan wabak yang telah dikesan di kilang tersebut bermula empat Julai lalu dan seramai lebih kurang 19 pekerja telah disahkan positif Covid 19 dan dan 10 ahli keluarga mereka telah dijangkiti.”
“Sehingga kini seramai 125 pekerjanya yang mempunyai kontak rapat dengan individu dijangkiti telah disaring dan dipakaikan gelang merah jambu,” kata Shamsudin ketika sidang media.
Katanya lagi, beliau telah menyarankan agar pihak kilang menutup sementara pengoperasiannya supaya wabak Covid 19 tidak terus tersebar khususnya di kawasan kilang dan di daerah ini.- UTUSAN ONLINE










