Ketua kampung kongsi gambar pusara mangsa MH17 ubat kerinduan - Utusan Malaysia

Ketua kampung kongsi gambar pusara mangsa MH17 ubat kerinduan

KAMARUDIN Sarip menziarahi pusara Allahyarham Hasni Hardi Parlan dan membantu mengambil gambar untuk ditatap waris dan kenalan mangsa di Tanah Wakaf Perkuburan Paya Luas, Batu Anam, Segamat di Johor. -UTUSAN/FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kelmarin, genap tujuh tahun detik hitam pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur ditembak jatuh pada tanggal 17 Julai 2014.

Bagi Ketua Kampung Kenangan Batu Anam, Kamarudin Sarip, 57, dia menggunakan aplikasi WhatsApp untuk berkongsi gambar pusara mangsa bagi membolehkan waris keluarga mengubat kerinduan.

Salah seorang mangsa tragedi MH17, Hasni Hardi Parlan, yang ketika itu berusia 32 tahun dan merupakan Jurutera Perkapalan disemadikan di kampung tersebut.

“Diharap waris mangsa diberikan ketabahan. Kita mendoakan waris mangsa boleh menziarahi pusara semula setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Tanah Wakaf Perkuburan Paya Luas di sini, semalam..

Menurut Kamarudin, imej pusara berkenaan akan dihantar secara maya kepada waris dan kenalan atas permintaan mereka.

“Pusara arwah Hasni Hardi menjadi tumpuan penduduk tempatan sebelum ini. Ramai yang singgah ke kubur untuk mendoakannya.

“Kenalan persekolahan selain rakan sekerja Hasni turut mahu perkongsian secara maya itu kerana arwah amat dikenali dengan sikap ringan mulut terhadap semua kenalannya,” ujarnya.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Noh Gadut, mengingatkan waris yang terlibat sebaiknya agar menyedekahkan ayat suci dengan sekerap mungkin buat mangsa yang terkorban.

“Tiada salahnya mengirimkan gambar secara maya serta bersangka baik dengan tiada tujuan khurafat dilakukan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Menyingkap kembali detik hitam itu, pesawat MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki di Donetsk, kawasan bergolak di timur Ukraine berhampiran sempadan Russia pada tujuh tahun lalu.

Nahas itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 43 rakyat Malaysia. Sebahagian besar mangsa terkorban adalah rakyat Belanda selain Australia, Britain, Malaysia juga Indonesia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN