Kerajaan tak tergugat tindakan Ku Li bertukar tempat ke blok bebas - Utusan Malaysia

Kerajaan tak tergugat tindakan Ku Li bertukar tempat ke blok bebas

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Perubahan kedudukan ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat tidak mencerminkan mereka menyokong atau menyebelahi sama ada blok kerajaan atau pembangkang.

Hal ini kerana pendirian kepada satu-satu blok hanya ditentukan ketika pengundian dijalankan terhadap sesuatu usul dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, kedudukan tempat wakil rakyat tidak bermakna mereka menyebelahi mana-mana pihak melainkan ahli Parlimen itu membuat pendirian secara terbuka terhadap mana-mana blok.

“Sokongan kepada kerajaan atau sebaliknya adalah bergantung pada pengundian yang dilakukan dalam sidang Parlimen. Jika tidak berlaku, maka sokongan kerajaan sedia ada tetap sama.

“Melainkan jika berlaku pengundian terhadap usul, jika tidak cukup maka sokongan kerajaan tergugat sekali gus menandakan kepimpinan Perdana Menteri terkesan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memohon untuk menukar daripada tempat duduk dalam Dewan Rakyat ke blok bebas.

Perkara itu dinyatakan dalam surat rasmi yang dihantar kepada Speaker Dewan rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertarikh 26 Julai 2021.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (​UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, meskipun Tengku Razaleigh mengemukakan permohonan agar tempat duduknya dialihkan ke blok bukan penyokong kerajaan, beliau masih wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Katanya lagi, ahli Parlimen Gua Musang itu sebelum ini dilihat berpendirian berkecuali ketika pengundian Belanjawan 2020 dan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Tukar tempat Tengku Razaleigh tidak menjadi masalah dan mengubah sokongan kerajaan PN melainkan berlaku pengundian usul. Itu bakal menjadi satu tanda perubahan kepada sokongan kepada kerajaan sedia ada.

“Namun buat masa ini, beliau masih wakil rakyat BN dan tidak mungkin beliau menyebelahi Pakatan Harapan atau mungkin beliau akan berkecuali,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Mokhtar berkata, perubahan tempat duduk Ku Li tidak akan memberikan kesan sama seperti ahli Parlimen bebas yang boleh memberikan sokongan sama ada kepada kerajaan atau pembangkang.

“Kalau ahli Parlimen bebas seperti Pejuang, mereka boleh duduk sama ada di pembangkang atau kerajaan. Tetapi tindakan Ku Li, kalau ubah tempat duduk sekalipun hanya akan membawa spekulasi, tidak akan ada perubahan kepada kerajaan. Yang boleh ubah hanyalah melalui usul undian atau melalui Agong kerana baginda yang boleh buat keputusan akhir,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN