ALOR SETAR: Kerajaan negeri menolak dakwaan mesin oksigen tidak mencukupi untuk menampung keperluan pesakit Covid-19 di hospital-hospital di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, jumlah pesakit terutamanya di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani masih ramai tetapi tidak mencapai tahap kritikal.
Malah katanya, ketika ini pihak hospital tidak terdesak mendapatkan mesin oksigen sehingga meminta derma daripada orang ramai.
Katanya, berdasarkan maklumat daripada pihak berkaitan keadaan wabak Covid-19 di negeri itu ketika ini masih terkawal.
“Memang jumlah pesakit terutamanya di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani ramai tetapi tidak sampai ke tahap kritikal hingga memerlukan kita meminta derma.
“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) semalam, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo juga tidak menyebut mengenai kritikalnya penggunaan oxygen concentrator.
“Sebaliknya yang diperlukan adalah oxymeter iaitu alat mengukur kandungan oksigen dalam darah,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min kononnya pandemik Covid-19 mencapai tahap kritikal dan melancarkan kutipan derma bagi membeli mesin oxygen concentrator untuk didermakan di hospital negeri ini.
Simon yang juga Naib Pengerusi PKR Kedah menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya hari ini mendakwa ramai pesakit meninggal dunia kerana peralatan mesin oksigen di hospital tidak mencukupi.
Dr. Mohd. Hayati berkata, dakwa Simon itu meragukan dan mungkin memiliki agenda tertentu.
Katanya, kerajaan negeri juga membekalkan sebanyak 200 unit oxymeter dalam tempoh terdekat.
“Ada perkara yang meragukan apabila Simon meminta supaya derma tersebut dimasukkan ke akaun Pusat Khidmat ADUN Bakar Arang,” katanya.- UTUSAN ONLINE