Kerajaan Johor tidak tumbang - Utusan Malaysia

Kerajaan Johor tidak tumbang

AZMI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Johor diterajui UMNO tidak akan tumbang sekali pun beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik sokongan.

Walaupun secara meritnya cenderung ke arah itu, kerajaan negeri mempunyai asas sokongan yang kuat daripada UMNO selain pengaruh daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berhak menentukan keabsahan kerajaan negeri dan sokongan ADUN terhadap Menteri Besar.

Justeru, kenyataan Bersatu yang mendakwa akan menarik sokongan kepada kerajaan negeri hanya sekadar memberi amaran dan tindak balas untuk menghentikan UMNO yang sering mendesak menukar kepimpinan di peringkat Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib berkata, krisis politik di Perak yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu digulingkan daripada  kerajaan negeri tidak akan berulang di Johor.

“Saya tak rasa Bersatu benar-benar serius dalam soal ini kerana mereka hanya mahu menggunakan ruang bersuara dan kewajaran utama adalah membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Lagi pun, pentadbiran negeri di Johor berbeza dengan negeri lain kerana pengaruh Sultan Johor sangat kuat. Bermakna, Baginda yang akan bersuara dan menentukan keabsahan menteri besar selain jentera UMNO juga kuat di negeri ini.

“Lebih teruk, tarikan sokongan Bersatu hanya akan merugikan parti sendiri kerana jentera UMNO juga kuat. Jadi, lebih baik untuk hentik berpolitik buat masa ini dan utama masalah lebih besar iaitu Covid-19,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas berkenaan spekulasi kerajaan negeri Johor berdepan kemungkinan runtuh selepas pendedahan ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh, empat ADUN Bersatu sedia menarik sokongan jika UMNO masih mendesak untuk menukar kepimpinan kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Datuk Osman menafikan dakwaan empat ADUN berkenaan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Utusan Malaysia masih mendapatkan tiga lagi ADUN yang dikaitkan menarik sokongan kerajaan negeri Johor kerana Che Zakaria masih bermain teka-teki.

Disember tahun lalu, kepimpinan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak tumbang apabila gagal memperoleh sokongan majoriti wakil rakyat di DUN apabila usul percaya terhadapnya diundi secara belah.

Senada dengan Kartini, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, status quo pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri perlu dikekalkan dengan pemerintah sedia ada atas persetujuan masing-masing.

Sekali pun berlaku pertukaran kerajaan daripada PN kepada UMNO, ia tidak akan memberi sebarang manfaat kerana kerajaan baharu yang dibentuk tidak stabil dan boleh tumbang sekali lagi.

“Ini hanya amaran awal dan menjadi amalan biasa dalam politik melainkan jika kerajaan PN di peringkat Persekutuan runtuh dahulu maka secara aitomatik kerajaan negeri runtuh terpalit sama.

“Cuma, inilah politik lihat siapa yang bertahan dulu dalam isu tarik tali dan tidak menghairankan mengapa Bersatu bertindak begini susulan UMNO yang menarik sokongan dari PN,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik bebas, Arif Anwar Lokmanol Hakim berkata, memang secara meritnya kerajaan negeri Johor runtuh namun tidak semudah yang disangkakan.

Jelasnya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah memberi amaran untuk membubarkan DUN jika wakil rakyat negeri itu terus gila kuasa merebut jawatan demi kepentingan peribadi.

Justeru, menyorot krisis politik di Perak, UMNO masih mempunyai sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) selain Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) sudah ditandatangani antara kedua-dua pihak bagi menyokong menteri besar.

“Jadi, jika tarik sokongan pun, CSA juga terpakai di Johor. ADUN PH akan kekal sokong atas faktor kestabilan dan elak jawatan menteri besar dipegang Bersatu,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya