‘Kenapa sekarang baru hendak tebang’ - Utusan Malaysia

‘Kenapa sekarang baru hendak tebang’

TENGKU ZULPURI RAJA PUJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Terdapat lebih 4,450 hektar kawasan yang diteroka secara haram di daerah ini termasuk yang membabitkan kawasan dan kampung Melayu seperti di Kampung Batu Talam dan Kampung Ulu Dong di sini.

Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Raja Puji berkata, kerajaan negeri tidak seharusnya bertindak berdasarkan kaum dalam isu membabitkan pekebun durian Musang King di daerah itu.

Jelasnya, beliau difahamkan pekebun durian di Batu Talam yang terlibat dengan operasi penguatkuasaan oleh kerajaan negeri kelmarin telah lebih 20 tahun mengusahakan tanah di kawasan itu.

“Pokok yang ditebang, saya dimaklumkan lebih 200 pokok yang berusia antara 17 hingga 18 tahun.

“Saya berharap kerajaan ne­geri bertolak ansur menyelesaikan masalah rakyat, pokok terlibat sudah 20 tahun, kenapa sekarang baru hendak tebang,” soalnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menahan 18 orang disyaki pekebun haram durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub selepas mereka mengganggu operasi berkenaan.

Dalam pada itu, proses permohonan reman 18 pekebun durian Musang King di Mahkamah Raub semalam kecoh selepas berlaku pertengkaran antara pihak berkuasa dan beberapa pemimpin politik.

Pertengkaran mula hangat selepas seorang anggota polis me­minta orang ramai termasuk pemimpin politik keluar dari kawasan mahkamah selepas individu direman dibawa ke balai polis.

Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun durian Musang King direman dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu akan disiasat setelah dua kertas siasatan dibuka susulan kekecohan yang berlaku di pekarangan Mahkamah Raub itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, Ronnie dibenarkan merentas negeri kerana merupakan ahli politik tetapi beliau tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN