KUALA NERUS: Seorang kapten kapal mewah dari Brazil merupakan antara 517 penggiat pelancongan di Pulau Redang di sini yang menerima vaksin Covid-19 menerusi program outreach di pulau peranginan itu.
Watson Gomes Da Silva, 62, berkata, selain dirinya, 12 lagi krew kapal itu turut mendapat vaksinasi berkenaan.
“Saya tiba ke Malaysia pada 10 Mei lalu dan sudah dua bulan berada di Pulau Redang.
“Pendaftaran vaksin dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera seperti diarahkan kerajaan Malaysia dan proses suntikan sangat mudah serta pantas,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang hari ini.
Sementara itu, Pengarah pelancongan negeri, Fadli Yusof Zakaria berkata, inisiatif menerusi program outreach itu melibatkan 167 pekerja asing manakala baki adalah rakyat tempatan.
Katanya, mereka merupakan kalangan pengusaha dan pekerja resort atau hotel di samping pemandu bot di pulau peranginan berkenaan.
“Inisiatif ini sekali gus dapat memberikan keyakinan kepada pelancong untuk ke Pulau Redang menerusi gelembung pelancongan domestik.
“Dalam masa sama, langkah ini dapat merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Fadli Yusof berkata, pelaksanaan program outreach itu selaras dengan saranan kementerian untuk memastikan lebih ramai penggiat industri dapat divaksin secara besar-besaran dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). -UTUSAN ONLINE