SHAH ALAM: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menjalankan operasi memusnah dan mencabut pokok di kebun durian haram di Hutan Simpan Bukit Cerakah, berhampiran Tanah Perkuburan Islam Saujana Utama Sungai Buloh, dekat sini.
Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, pihaknya mengambil tindakan segera ke atas aduan awam yang dibuat oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkaitan kebun itu seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.
Katanya, pasukan penguat kuasa JPNS sudah membuat semakan di kawasan yang didakwa dan tindakan menanda sempadan kawasan yang diceroboh serta membuat bancian pokok yang ditanam.
“Kita mengeluarkan Notis Arahan dan Memusnahkan Tanaman, Mengosong dan Meruntuhkan Binaan Bangunan di kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah Kompartmen 14 pada 12 Julai lalu.
“Pihak penceroboh diberi tempoh selama dua minggu daripada tarikh notis untuk melaksanakan arahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan aktiviti penanaman durian dipercayai secara haram di hutan simpan itu dilakukan secara senyap bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Walaupun aktiviti itu mungkin tidak seluas penerokaan Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub, Pahang, ia juga bakal memberi implikasi terhadap ekosistem di kawasan itu dalam jangka masa panjang.
Malah, jika dibiarkan, tidak mustahil kawasan hutan simpan merangkumi seluas beberapa ribu hektar musnah dan kemudian menjejaskan kawasan tadahan air utama Selangor.
Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati banyak pokok durian yang dipercayai berusia kira-kira empat minggu sudah ditanam selain kesan penerokaan lain termasuk penebangan pokok.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadzil berkata, JPNS mendapati sebahagian pokok yang disita sudah dialih serta dimusnahkan manakala sebahagian struktur binaan bangunan turut dibuka oleh penceroboh pada 16 Julai lalu.
“Rabu lalu, pasukan penguat kuasa membuat semakan dan mendapati masih terdapat saki baki pokok yang dianggarkan berjumlah 89 batang pokok daripada pelbagai spesies belum dialih atau dimusnahkan.
“Sehubungan itu, satu operasi memusnahkan dan mencabut pokok tanaman dilakukan pada hari sama,” katanya.
Tegas beliau, setiap operasi penguatkuasaan JPNS akan terus direkod dan dilaporkan ke balai polis berdekatan bagi jaminan keselamatan pasukan penguatkuasa.
“Selain itu, kita sentiasa komited melaksanakan operasi bersepadu dan membuat rondaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Langkah itu bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi Akta Perhutanan Negara 1984 dan mereka yang ingkar akan ditahan serta dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Justeru, beliau meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kesalahan hutan, pencerobohan hutan dan penerokaan hutan tanpa permit kepada JPNS untuk tindakan lanjut.
Mereka boleh menghubungi talian 03-55447507 atau Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menerusi talian Hotline 1-800-5776 atau e-mel di [email protected]. -UTUSAN ONLINE