Jendela : 1,000 penduduk Paya Besar nikmati jaringan telekomunikasi - Utusan Malaysia

Jendela : 1,000 penduduk Paya Besar nikmati jaringan telekomunikasi

KERJA-kerja membina Infrastruktur di Felda Panching Timur di Kuantan, Pahang oleh Celcom.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penduduk di Panching Timur, Felda Bukit Sagu 2 dan sekitar persimpangan Gambang Interchange di bawah Parlimen Paya Besar di sini kini boleh menikmati jaringan telekomunikasi yang lebih baik selepas tiga infrastruktur telekomunikasi didirikan siap sepenuhnya.

Pembangunan infrastruktur telekomunikasi itu merupakan hasil kerjasama penyedia perkhidmatan Celcom dan Digi dengan kawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mula beroperasi sejak bulan lalu. 

Kejayaan tersebut susulan tindakan hasil pertemuan antara Timbalan Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah dengan SKMM bersama dengan pemain industri pada April lalu.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM berkata, infrastruktur itu memberi liputan telekomunikasi kepada beberapa buah kampung seperti Felda Panching Timur, Felda Bukit Sagu 1, 2 dan 3, Taman Rakyat Gambang, Masjid Gambang dan kawasan perindustrian Gambang serta persekitarannya yang memberi manfaat kepada hampir 1,000 penduduk setempat.

Menurut kenyataan itu, sebagai usaha berterusan, beberapa inisiatif lain juga telah dirancang di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela)  melibatkan sebanyak 19 buah menara baharu akan dibina dalam kawasan Parlimen Paya Besar. 

Katanya, menara-menara itu akan mula dibina seawal bulan depan dan dijangka siap secara berperingkat antara bulan Mac hingga Jun 2022. 

“Selain pembinaan menara-menara baharu, kerja-kerja naik taraf perkhidmatan rangkaian 3G kepada 4G juga telah dirancang untuk dilaksanakan yang akan melibatkan sebanyak 65 stesen pemancar di seluruh kawasan Parlimen Paya Besar. 

“Kerja-kerja naik taraf dijangka bermula pada bulan Ogos ini dan siap secara berperingkat sehingga Mac tahun depan.

“Pada masa yang sama, sebanyak 4,545 buah premis di Parlimen Paya Besar juga akan terlibat dalam kerja naik taraf teknologi lama berasaskan kabel tembaga kepada rangkaian gentian optik. Ini bagi membolehkan capaian jalur lebar tetap dengan kelajuan Gigabit disediakan.

“Inisiatif ini telah pun bermula semenjak suku pertama tahun ini dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku kedua 2022 bergantung kepada ketersediaan infrastruktur sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Kata kenyataan itu lagi, dengan pembinaan infrastruktur telekomunikasi dan pelaksanaan inisiatif lain di bawah Jendela, ia mampu melonjakkan taraf kehidupan penduduk setempat di samping membolehkan mereka melaksanakan aktiviti seharian dengan lancar.- UTUSAN ONLINE 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya