Isu lalat: Operasi ternakan ayam digantung, pemilik dikompaun - Utusan Malaysia

Isu lalat: Operasi ternakan ayam digantung, pemilik dikompaun

LAPORAN mengenai masalah lalat berpunca daripada ladang ayam terbuka berdekatan Kampung Tualang dan Kampung Buruk Bakul di Beruas yang disiarkan Utusan Malaysia semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak mengeluarkan notis penggantungan sementara operasi sebuah syarikat penternakan ayam di sini, selepas dikenal pasti menjadi punca gangguan lalat di dua kampung di sini.

Pengarah JPV Perak, Dr. Ahmad Shafri Hassan berkata, pemilik syarikat itu pula dikompaun sebanyak RM2,000 atas kegagalan menguruskan tinja atau najis ayam secara berkesan serta menjadikan premisnya sebagai tempat pembiakan lalat.

“Untuk makluman, setakat ini, sebuah ladang reban ayam terbuka di kawasan Beruas, dalam daerah Manjung telah dikenal pasti menjadi punca kacau ganggu lalat di Kampung Tualang dan Kampung Buruk Bakul.

“Notis gantung sementara beroperasi telah diserahkan kepada pemilik tersebut bertarikh 16 Julai lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Utusan Malaysia semalam menyiarkan rintihan kira-kira 800 penduduk di Kampung Tualang dan Kampung Buruk Bakul yang menghadapi masalah gangguan lalat sehingga menyukarkan kehidupan mereka sejak kira-kira 30 tahun lalu.

Penduduk di dua kampung itu percaya masalah tersebut berpunca daripada perusahaan penternakan ayam yang masih menggunakan kaedah sistem terbuka, terletak kira-kira 600 meter dari penempatan penduduk.

Terdapat hampir 600 penduduk tinggal di 106 rumah di Kampung Tualang dan kira-kira 200 penduduk tinggal di 33 kediaman di Kampung Buruk Bakul.

Seorang penduduk, Rashid Leman, 51, berkata, masalah gangguan lalat akan berlaku sekurang-kurangnya selama tiga minggu setiap 45 hari iaitu selepas perusahaan yang memiliki 16 reban itu menjual ayamnya dalam tempoh tersebut.

Menurut Ahmad Shafri, pemilik diarah untuk mengambil semua tindakan penambah baikan yang telah dikenal pasti menjadi punca kepada masalah gangguan lalat itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN