Ingatan veteran UMNO jangan ulangi kesilapan Pakatan Harapan - Utusan Malaysia

Ingatan veteran UMNO jangan ulangi kesilapan Pakatan Harapan

OTHMAN DESA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pemimpin UMNO termasuk 38 ahli Parlimennya digesa mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut parti yang dihadapi dengan mengutamakan kepentingan rakyat yang terkesan ekoran pandemik Covid-19 berbanding mengejar agenda politik masing-masing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, setiap pihak perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan berulangnya krisis kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada awal 2020.

Katanya, kini bukan masanya untuk berpolemik dan berbeza pandangan ketika negara berhadapan situasi getir iaitu Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Jangan ulang balik apa yang berlaku dahulu apabila PH jatuh disebabkan ada parti tarik sokongan dan menyebabkan kerajaan tumbang di saat negara bergelut dengan Covid-19. Akhirnya yang rugi bukan parti, tetapi rakyat.

“Jika tarik sokongan tiba-tiba, ia ibarat menarik brek kereta yang dipandu laju dengan mengejut, jadi akan berlaku kemalangan. Sudahlah ahli-ahli Parlimen UMNO pegang jawatan penting kerajaan dan bertanggungjawab dalam soal Covid-19.

“Oleh itu, isu sebegini kena cari titik pertemuan menerusi perbincangan antara kedua-dua pihak melibatkan kepimpinan UMNO dan ahli Parlimen. Masing-masing ada pandangan dan alasan tersendiri, tetapi sebarang langkah diambil perlu ambil kira kepentingan negara yang masih berperang dengan virus Covid-19,” katanya ketika dihubungi semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan sebahagian ahli Parlimen UMNO menolak gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya keluar daripada Kerajaan PN kerana menyifatkan kini bukan masa sesuai untuk berpolitik sebaliknya usaha menangani pandemik Covid-19 lebih utama.

Difahamkan mereka menetapkan pendirian itu setelah dipanggil bersemuka dengan Ahmad Zahid di ibu pejabat UMNO di Menara Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Dalam pada itu, Othman mengesa semua pemimpin UMNO untuk bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana kerana rakyat sentiasa memerhati tindak tanduk mereka.

“Kami terdiri daripada lebih sejuta ahli veteran UMNO tidak mahu parti terus berpecah hingga perpaduan sesama kita mula terhakis.

“Masing-masing ada pendapat, Presiden dan Majlis Tertinggi ada pendirian tersendiri iaitu berdasarkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO beberapa bulan lalu, begitu juga ahli Parlimen UMNO lain. Namun jangan kita terikut-ikut rentak pihak tertentu sehingga perpaduan parti terjejas sehingga memporak-perandakan tanah air,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN