Hospital Melaka kini kritikal - Utusan Malaysia

Hospital Melaka kini kritikal

Jururawat, Siti Aminah Abdul Rahman dari Klinik Kesihatan Peringgit memberikan suntikan vaksin jenis Pfizer kepada warga emas, Mohd Sukhaimi Ibrahim, 63, di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu laludi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam. -UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua lagi hospital daerah di Melaka mula menampung pesakit Covid-19 sejak awal minggu ini susulan jumlah katil di Hospital Melaka mencapai paras kritikal. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu dibuat selepas penggunaan katil di Hospital Melaka mencecah 91 peratus. 

Katanya, sebanyak 400 daripada keseluruhan 444 katil telah dipenuhi dan sejumlah 13 pesakit kini terpaksa dirawat di Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin. 

“Mengikut data sehingga kelmarin, kapasiti katil di Hospital Melaka berada pada paras kritikal iaitu mencecah 91 peratus, menyebabkan dua buah hospital daerah kini terpaksa menerima dan merawat pesakit Covid-19 bermula awal minggu ini. 

“Hospital Jasin kini merawat tujuh pesakit Covid-19, manakala Hospital Alor Gajah enam pesakit,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau hari pertama pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini, hari ini. 

RAHMAD MARIMAN

Mengulas lanjut, beliau berkata, katil di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka juga turut menempatkan pesakit Covid-19 termasuk di zon hijau, kuning dan merah. 

Jelasnya, katil bagi merawat pesakit Covid-19 di jabatan itu turut ditingkatkan kepada 60 katil, berbanding hanya 10 sebelum ini. 

“Kita merancang untuk menjadikan laluan dan Zon Hijau ditutup dan pesakit tidak kritikal boleh mendapat rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Peringgit yang akan dibuka untuk 24 jam. 

“Anggaran KK itu mampu menampung seramai 150 pesakit zon hijau dari Hospital Melaka.

“Hospital Melaka kini sesak sehingga terpaksa menggunakan segenap ruang yang ada seperti bilik mesyuarat, stor, tempat parkir ambulans dan sebagainya bagi menempatkan pesakit Covid-19,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri turut bercadang untuk menambah katil penjagaan kritikal dan peralatan di Hospital Melaka bagi menampung keperluan unit rawatan rapi (ICU). 

Katanya, negeri ini masih jauh untuk mencapai kriteria ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan purata penggunaan katil mencecah 155 peratus. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya