BUKIT MERTAJAM: Mengusahakan dua cabang perniagaan makanan serta khidmat penghantaran makanan sendiri semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bukan suatu tugas yang mudah.
Hakikat itu diakui seorang pengusaha restoran nasi campur dan mi kuah ketam, Mohd. Hafizul Fadli Hatip, 39, kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Hafizul Fadli, untuk perniagaan nasi campur, dia terpaksa mengurangkan sehingga separuh daripada jumlah juadah atau menu harian yang disediakan berbanding sebelum ini.
Malah ujarnya, dia juga kehilangan lebih separuh daripada pelanggan yang biasa berkunjung ke kedai makannya gara-gara tidak boleh merentas sempadan negeri atau daerah ketika ini.
Katanya, perkara yang sama juga berlaku kepada perniagaan mi kuah ketam yang diwarisi daripada arwah bapa mentuanya sejak lebih setahun yang lalu.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih boleh bertahan hingga ke hari ini dalam kedua-dua perniagaan ini.
“Lebih penting, hampir semua pekerja juga masih bersama saya walaupun saya akui mereka juga sangat terkesan dengan PKP kali ini,” katanya ketika ditemui di restorannya di Cherok Tok Kun, di sini.
Selain set nasi beserta lauk-pauk pada harga serendah RM6, Mohd. Hafizul Fadli turut menyediakan khidmat penghantaran untuk juadah mi kuah ketam yang juga bermula pada harga RM6.
Caj penghantaran yang dikenakan pula tidak melebihi RM3 bergantung kepada lokasi pelanggan khususnya dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
Dalam pada itu, bekas juruteknik kilang itu memberitahu, dia bernasib baik kerana kedua-dua perniagaan makanannya tersebut masih mendapat sambutan menerusi khidmat penghantaran makanan.
Malah, sehingga ke satu tahap, dia terfikir untuk menambah bilangan penghantar makanan demi memenuhi tempahan makanan terutama daripada kalangan pekerja kilang dan sebagainya.
“Alhamdulillah, rezeki itu masih ada dan sentiasa ada berkat kesabaran kami selama ini,” katanya yang sedang dalam perancangan melebarkan sayap perniagaan selepas ini termasuk memperkenalkan produk makanan sejuk beku selepas ini.- UTUSAN ONLINE










