KOTA TINGGI: Keputusan beralih kerjaya daripada bidang pengkomputeran kepada pertanian langsung tidak pernah disesali buat seorang pemuda di Kampung Baru Sungai Mas, di sini.
Bahkan, bagi Mohd. Fauzan Abas, 38, yang kini pemilik Big Herbs Nursery, tindakan diambil lima tahun lalu itu adalah keputusan terbaik pernah dibuat sepanjang hidupnya.
Bapa kepada tiga orang anak itu juga gembira apabila lebih-lebih lagi apa yang dilakukannya tersebut telah membuatkan Allahyarham bapanya bangga kerana kejayaanya itu.
“Sebelum ini saya bekerja di Kuala Lumpur dalam bidang teknologi pengkomputeran. Setelah 13 tahun menetap di sana saya ambil keputusan untuk pulang ke kampung kerana hendak menjaga ayah yang tidak sihat.
“Bila balik ke kampung saya bermula dengan tanaman 20 polibeg cili sahaja, selepas itu beralih kepada 2,000 polibeg dan seterusnya 4,000 polibeg. Masa itu tahun 2016 selepas dua tahun lebih menjadi petani saya cuba untuk menjadi usahawantani pula dengan mewujudkan Big Herbs Nursery.
“Alhamdulillah dengan pemasaran yang dilakukan, sambutan diterima ketika itu amat memberangsangkan meskipun nurseri kami terletak dalam kampung di kawasan kebun sawit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mohd. Fauzan berkata, tidak dinafikan dia juga terpaksa menempuh cabaran yang menimpa, namun menganggap ia sebagai pembakar semangat lebih-lebih lagi apabila Covid-19 melanda negara menyebabkan nurserinya hanya dapat beroperasi dengan biasa selama setahun.
“Selepas itu kami terpaksa beroperasi dalam keadaan norma baharu apabila orang ramai terkurung dan tidak boleh bebas keluar. Namun ada kebaikannya juga kerana bila orang terkurung dalam rumah masing-masing mahu bercucuk tanam.
“Jadi kaedah kami lakukan adalah dengan membuat penghantaran dari rumah ke rumah. Masa Perintah Kawalan Pergerakan pertama kami hanya buat penghantaran di kawasan daerah ini sahaja dan Alhamdulillah jualan kami berjaya capai sehingga RM40,000,” katanya.
Menariknya nurseri diusahakan Mohd. Fauzan bukan sahaja menjual anak pokok bunga tetapi fokus utamanya adalah menjual pokok sayuran, herba dan ulam-ulaman dan kejayaan itu turut dibantu agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian Kota Tinggi dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengerang yang membantu dari segi input pertanian.
“Big Herbs Nursery adalah pencapaian terbaik dalam hidup saya. Bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga tapi ia turut memanfaatkan penduduk kampung untuk bekerja di sini serta paling saya bersyukur apabila sempat buat ayah bangga sebelum dia meninggal dunia tahun lepas,” katanya.
Kini, Mohd. Fauzan turut merancang untuk menjadikan nurseri seluas lebih satu ekar itu sebagai agro-pelancongan menjadi tarikan baharu orang luar yang datang ke kawasan tersebut.
Dia juga yakin dengan pelaburan baharu tanah seluas dua ekar dibeli untuk dijadikan sebagai hub tanaman yang turut menempatkan kolam ikan, ternakan kelulut serta tapak semaian akan menjayakan konsep ‘back to nature’ yang diilhamkan.- UTUSAN ONLINE










